Rabu, 18 Januari 2017

MB Johor disaran contohi Selangor dalam proses semak imbang PBT

MALAYSIA DATELINE
 
Sheikh Omar AliSheikh Omar AliPakatan Harapan dan PPBM negeri itu mahu Johor mencontohi apa yang telah dilaksanakan negeri Selangor untuk memastikan suara dan hak rakyat di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

"Hal ini telah dilaksanakan di negeri Selangor dan ia membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri dalam memastikan suara dan hak rakyat terus diangkat dalam perjalanan urus tadbir pembangunan Negeri.

"Menjadikan Selangor sebagai perbandingan juga, rakyat memiliki hak dan dilindungi di bawah Akta Kebebasan Maklumat negeri Selangor untuk mendapatkan akses terhadap penyata kewangan PBT," ujar Penolong Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali dalam satu kenyataan dalam sidang media diadakan hari ini.

Sheikh Omar mendakwa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) mengambil sikap acuh tidak acuh dalam menyelesaikan isu penyelenggaraan Terminal Bas Awam Kluang.

"Keadaan Terminal Bas Kluang yang sehingga hari ini gagal diselenggara dengan baik menggambarkan betapa rakyat sebagai pembayar cukai tidak dapat menikmati keselesaan kemudahan awam yang sewajarnya.

"Keadaan kotor, bau busuk, paip bocor, pendawaian tidak sempurna, tiada daya tarikan pengunjung, keadaan gerai-gerai peniaga yang tidak ada penyelenggaraan yang sempurna dan banyak lagi masalah telah menghantui para pengunjung dan peniaga di Terminal Bas Kluang ini.

"Hak rakyat sebagai pembayar cukai gagal dipenuhi. Saya anggap, antara faktor penting yang mesti diambil kira adalah kerana rakyat sendiri berhadapan limitasi untuk akses bagaimanakah hasil-hasil cukai yang dikutip oleh pihak MPK diurus dan disalurkan untuk menambah baik taraf kehidupan rakyat.

Apabila tiada akses, tiadalah semak imbang berlaku antara PBT dan rakyat sebagai pembayar cukai. Rakyat tidak dapat mengetahui, mengapakah kemudahan awam yang sepatutnya mereka nikmati tidak diselenggara dengan baik di Terminal Bas Kluang ini," ujarnya.

Sheikh juga berkata daripaada semakan dilakukan mendapati bagi tahun 2014 sahaja pun, pendapatan cukai tahunan MPK mencecah RM30 juta.

"Rakyat berhak mengetahui kemanakah wang-wang ini dibelanjakan.

"Saya ingin bertanya Khaled Nordin (Datuk Menteri Besar), apakah beliau memiliki keazaman politik untuk mewujudkan akta yang sama di Johor ini bagi memastikan ketelusan dalam pentadbiran beliau?

"Pada masa yang sama, saya menerusi Pejabat Ahli Parlimen Kluang telah mengajukan surat rasmi memohon pihak Majlis Perbandaran Kluang mengeluarkan satu salinan penuh penyata kewangannya bagi tahun 2014 dan 2015 untuk pihak kami dan rakyat umumnya mengetahui maklumat lebih terperinci berkaitan isu ini.

"Kami ingin tahu dengan terperinci, berapakah peruntukan yang telah diluluskan, bagaimanakah ia dibelanjakan, siapakah kontraktor yang dilantik, apakah status terkini untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan apakah isu-isu yang timbul sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan Terminal Bas Kluang dilaksanakan," terangnya.

Barisan pimpinan utama Pakatan Haapan dan Bersatu ketika mengadakan sidang media mereka di Terminal Kluang hari ini.Barisan pimpinan utama Pakatan Haapan dan Bersatu ketika mengadakan sidang media mereka di Terminal Kluang hari ini.
 

Tiada ulasan: