Selasa, 10 Januari 2017

Kuota jemaah haji dikembalikan kepada jumlah asal - Jamil Khir

ASTRO AWANI


Kuota jemaah haji dikembalikan kepada jumlah asal - Jamil Khir
Jamil Khir berkata kerajaan Malaysia memohon kuota 30,000 jemaah tetapi kerajaan Arab Saudi memberi jumlah kuota asal iaitu 27,800 orang. - Gambar fail
 
 
TUMPAT: Kuota jemaah haji Malaysia dikembalikan kepada jumlah asal iaitu 27,800 orang tahun ini berbanding 22,320 orang sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota berkenaan selepas menarik balik pengurangan kuota jemaah haji sebanyak 20 peratus yang dikuatkuasakan pada 2013 terhadap jemaah asing.

"Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana mengembalikan kuota asal jemaah haji tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 45 surau dan tujuh masjid di Parlimen Tumpat yang terlibat banjir di sini, hari ini.

Sumbangan tersebut adalah pemberian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Takwa. Setiap surau memperoleh RM500 manakala masjid mendapat RM2,000.

Jamil Khir berkata kerajaan Malaysia memohon kuota 30,000 jemaah tetapi kerajaan Arab Saudi memberi jumlah kuota asal iaitu 27,800 orang.

Beliau berkata kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas kejayaan menyiapkan projek pembesaran Masjidil Haram yang membolehkan lebih ramai jemaah mengerjakan ibadah haji bermula tahun ini.

Ditanya mengenai pemberian subsidi kepada jemaah haji tahun ini, beliau berkata pemberian subsidi tersebut akan diteruskan.

Sementara itu, Jamil Khir berkata pihaknya sedang mengenal pasti surau dan masjid di Parlimen lain di Kelantan yang terlibat dengan banjir untuk diberi bantuan.
 
Beliau berharap bantuan tersebut dapat membantu pengurusan surau dan masjid memperbaiki sebarang kerosakan yang terlibat seperti alat siar raya, permaidani dan bahan bacaan. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: