Rabu, 11 Januari 2017

[KEMASKINI] Itu hak PAS untuk berhimpun, kata PKR

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
AMPANG: PKR berkata adalah menjadi hak PAS untuk menganjurkan Himpunan 355 yang dijadualkan pada 18 Februari depan.
 
Namun menurut Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, parti itu masih belum membuat keputusan samada mahu menyertainya atau tidak.
 
"Itu adalah hak mana-mana individu atau organisasi untuk adakan perhimpunan aman dan pendirian kita, telah kita nyatakan berulang kali tentang perkara ini.
 
"Setakat ini saya belum dimaklumkan tentang perkara tersebut sebab saya kira mereka juga sedang mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi maksud berkenaan," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan di SK Hulu Klang, di sini sebentar tadi.
 
Himpunan 355 PAS ini dianjurkan bagi memberi penerangan bersabit cadangan pindaan Rang Undang-undang 355 (RUU355).
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung kehadiran PKR ke himpunan berkenaan sekiranya mendapat jemputan.
 
Menurut Azmin lagi, PKR akan melakukan perbincangan di peringkat parti mengenai penyertaan mereka dalam himpunan tersebut.
 
Katanya, setakat ini partinya masih belum menerima jemputan rasmi daripada penganjur himpunan. 
 
"Kita akan berbincang dalam parti tentang penyertaan kita," katanya lagi.
 
PKR menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berpendirian menerima dan mengiktiraf hak Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menyokong bahawa usul tersebut dibahas, meskipun mempunyai beberapa kemusykilan dan keraguan berkaitan dengan RUU 355.
 
Justeru PKR menantikan penjelasan Abdul Hadi dan lebih utama lagi pendirian dan jaminan Perdana Menteri bahawa hak-hak di bawah Perlembagaan akan dilindungi, sebelum sebarang memutuskan pendirian seterusnya.
 
PAS pada Sabtu lalu mengumumkan akan menganjurkan himpunan mega pada 18 Februari depan bagi menyatakan sokongan bersabit langkah Presidennya membawa usul pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang telah melalui dua kali penangguhan di Parlimen.
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media himpunan itu turut mempelawa kesemua parti politik termasuk DAP, Amanah serta parti-parti komponen BN untuk menghadiri himpunan itu bagi mendapatkan penerangan mengenai keperluan meminda Akta Mahkamah Syariah.
 
Menurut Tuan Ibrahim, himpunan itu turut bertujuan 'memurnikan suasana' ekoran sikap sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan langkah PAS membawa usul pindaan terhadap Akta 355.
 
 

Tiada ulasan: