Isnin, 23 Januari 2017

Kecelaruan mentel Politik Suhaizan

Oleh Izwan Abdul Halim


KESTABILAN bacaan politik Setiausaha Organisasi PAN, Suhaizan Kaiat lebih serabut daripada kajian INVOKE Rafizi Ramli. Sekiranya diamati kenyataan atau ulasan atau status di media sosialnya, Suhaizan seperti ada gangguan atau mengalami tekanan mental, walaupun tidaklah segila pimpinan PAN yang lain.

Baru-baru ini beliau memperlekehkan hakikat bahawa PAS adalah 'King Maker' politik pada masa kini yang kenyataan itu bukan syok sendiri. Selain perakuan daripada penerimaan awam melalui keahlian PAS yang meningkat, serta pelbagai kajian dan pakar akademik di universiti dan para pemerhati politik, ia juga terzahir dari pelbagai pujuk rayu dan ulasan pemimpin PKR, DAP, Umno dan PAN sendiri.
 
Sebenarnya, selain mungkin masalah mental, ia menunjukkan Suhaizan kurang senang dan sakit hati atas perkembangan PAS yang diharapkan mereka akan lumpuh dengan keluarnya mereka dari PAS dan menubuhkan pula PAN. Sebaliknya, PAN pula dilihat mulai bermasalah apabila diabaikan dan diminta bubar oleh rakan-rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) - BERSATU. Ahli-ahli PAN yang dahulunya PAS pula ada telah insaf dan kembali menyedari perjuangan dibawa PAN, lalu memohon menyertai semula PAS.

Lebih malang, ketika PAN ghairah membaca tajuk kajian INVOKE bahawa kononnya PAS akan hilang dari peta politik tanah air, kandungan data menunjukkan PAN hanya memperolehi 2 peratus sokongan. Jauh dari PAS yang mendapat 21 peratus. Apakah bekas pensyarah UTM ini ada masalah menilai data empirik?

Terkini, Suhaizan mahu PAN dan PKR merampas pengundi PAS pada PRU14 nanti, sedangkan PAS akan melawan Umno-BN dan cuba tarik pengundi Umno. Apa ertinya PAS tarik pengundi Umno, tapi pengundi PAS sedia ada PAN hendak curi?

Ini akan meletakkan perlawanan PAS dengan Umno dalam keadaan ketidaktentuan. Boleh jadi peluang menang PAS hilang dan Umno-BN menang lagi angkara PAN. Maknanya PAN bukan sahaja khianat, tapi memberi menang mudah dan membantu kepada Umno-BN. Logiknya, PAN bantu Umno-BN.

Seruan Suhaizan itu juga menunjukkan PAN tiada kemahiran untuk mengalahkan BN, melainkan hadir untuk mengacau PAS kerana kekecewaan lampau dan buat bising dalam politik. Ketika sama membantu DAP yang sedang rakus untuk menguasai politik Malaysia dan membawa bentuk penjajahan baharu selepas BN, serta lebih bahaya kepada masa depan Islam.

Kecelaruan dan kekeliruan mental Suhaizan itu telah lama terlihat sebenarnya ketika beliau begitu teruja dengan ampu bodek dan percaturan untuk diletakkan bertanding sebagai Ketua Pemuda PAS dahulu. Rupanya disebalik majoriti kemenangan yang berselisih hanya beberapa belas undi itu, diatur beberapa Dewan Pemuda PAS Kawasan di Johor yang belum disahkan pendaftarannya untuk turut mengundi pada pemilihan.

Walaupun rekod itu telah 'ditutup buku', tetapi hakikat sebenar dokongan kepada Suhaizan ditunjukkan oleh para Pemuda PAS dengan penolakan penuh ke atas pasukannya pada pemilihan Muktamar 2015 di Shah Alam. Rebah tersembam pasukannya termasuk di Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh negara. Sedangkan mereka terang-terangan begitu gigih berkempen mencari undi, mengatur perwakilan dan calon bertanding.

Paling ketara tahap celarunya adalah sepanjang beliau selaku Ketua Pemuda. Mungkin kerana dikelilingi para penasihat mentah dan amatur 'tak cukup tamrin' serta berimiginasi teori. Mereka itu hanya tahu membuat lakonan saraf tidak menjadi, ajakan demo dan drama tangkapan polis untuk simpati. Maka, lahirlah pelbagai projek populis dan penuh hiruk pikuk.

Beliau membiar bebaskan pelbagai pemikiran diimport masuk ke dalam Pemuda PAS dari liberalis, sosialis, pragmatis, komunis dan lain-lain atas nama inklusif kononnya. Bergaya dengan imej budiman, tetapi meninggalkan keutamaan iman, selain merombak, mendebat dan seakan memansuhkan teras-teras utama PAS sebagai Gerakan Islam.

Wala' dan thiqah diacah-acah dengan perbahasan luar waqi' serta semberono dengan meletakkannya di kandang iktilaf dan tidak perlu pertimbangan usul. Lalu menjuruskan untuk berbeza sikap dengan ketua parti di mana motif sebenar adalah merungkai ketaatan kepada Tuan Guru Presiden PAS. Malah beliau lebih awal dilihat tiada pendirian tatkala diasak para Pemuda PAS berkaitan dokongan kepada Presiden.

Bahkan dilihat cenderung bersama angkatan yang merencana Ustaz Ahmad Awang sebagai calon Presiden. Begitu juga secara tiba-tiba mengangkat idea Pemuda al-Helmy yang sebenarnya dijadikan pemangkin untuk meletuskan pertembungan dalaman dan pembunuhan karektor secara halus.

Hingga, segala ghairah Suhaizan ketika itu mahukan banyak hal dirujuk Dr Yusuf al-Qardhawi, tetapi ketika idea-ideanya terbantut tidak menjadi, mahu diselesai mengikut konsep Stephen Covey. Saat merasa diri dipuncak persada hinggakan beliau berangan-angan menguasai teraju pemerintahan Kerajaan Negeri Johor.

Lalu di atas pentas Muktamar Pemuda dijanjikannya untuk GLC Johor Corporation menaja makanan KFC untuk Muktamar PAS.

Namun, semua itu telah tersimpan dalam 'arkib sejarah' yang membuktikan bahawa segala mental idea dan gagasan Suhaizan sebenarnya makan keliling, opurtunis, tiada pendirian dan tidak boleh dipercayai.

(Izwan Abdul Halim @ fb Harakah Kedah)

Tiada ulasan: