Selasa, 10 Januari 2017

Jelaskan projek ‘Gajah Putih’ RM700 juta di KL

OLEH AFIX REDZUAN

kl


SHAH ALAM : KEADILAN mendesak Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz menjelaskan projek didakwa menjadi ‘gajah putih’ dianggarkan hampir RM700 juta.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, laporan akhbar The Star bertajuk ‘From monuments to failures’ memeranjatkan warga Kuala Lumpur dan membangkitkan semula pandangan perlunya reformasi untuk menyelamatkan DBKL.

Beliau mendakwa secara purata RM47 juta dibelanjakan setiap tahun selama 15 tahun untuk projek ‘gajah putih’ yang tidak mendatangkan manfaat sepatutnya.

“Sepuluh projek ‘gajah putih’ dilaporkan antaranya belon amaran banjir di Kampung Kasipillay pada 2013 bernilai RM200,000 dan RM365 juta bagi sistem pengawasan lalu lintas (ITIS) yang dilancarkan pada 2002 dianggarkan semuanya berjumlah RM700 juta.

“RM700 juta ini mungkin boleh diguna untuk membina sepuluh buah sekolah yang mempunyai 24 bilik darjah dengan menggunakan Industrialised Building System (IBS) seperti yang disebut Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid Ogos lalu.

“Jumlah ini juga lebih dari mencukupi untuk mengganti kesemua lif di 62 PPR dan PA di seluruh Kuala Lumpur pada harga RM500,000 sebiji,” katanya dalam satu kenyataan.

Fahmi turut menimbulkan persoalan bagaimana kos projek yang tinggi itu boleh diluluskan bahkan ia berlarutan bertahun lamanya tanpa meletakkan soal kebertanggungjawaban terhadap penggunaan wang rakyat.

“Bagaimanakah Lembaga Penasihat Bandaraya yang mempunyai 15 ahli yang tidak dipilih dan dipengerusikan Datuk Bandar boleh membenarkan projek ‘gajah putih’ ini berlaku tahun demi tahun? Tidakkah mereka berasa mereka bertanggungjawab kepada rakyat?

“Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ahli-Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya digesa memberi penjelasan penuh terhadap projek itu serta mengumumkan projek ‘gajah putih’ lain yang mungkin belum kita ketahui,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pembayar cukai yang tinggal di 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur memilih sekurang-kurangnya 11 daripada 15 Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya menerusi prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’.=EZY=

Tiada ulasan: