Khamis, 19 Januari 2017

Jangan lagakan saya dengan menteri, kata Annuar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan pihak luar agar tidak melaga-lagakan dirinya dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Yaakob.
 
Beliau merujuk mengenai isu yang membabitkan tajaan dua anak syarikat agensi persekutuan itu kepada pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).
 
"Jangan cuba nak laga-lagakan, saya bukan orang yang mudah untuk nak dilaga-lagakan begitu.
 
"Menteri cakap, menteri perlu tahu perinciannya, beliau sedang tunggu laporan, beliau belum tengok lagi bila dibayar, ditaja dan sebagainya, dan orang tanya adakah ini akan menjejaskan MARA? Dan menteri kata kerana itu anak syarikat MARA, kalau negatif, ia akan terjejas.
 
"Tetapi negatif atau positif beri peluang untuk menteri kaji, jadi jangan terus ambil dari satu sudut yang luar daripada konteks apa yang menteri cakap," katanya kepada pemberita.
 
Beliau ditemui selepas menghadiri Hari Terbuka dan Perasmian KIMAR, di Batu Caves, petang tadi.
 
Ismail, pada dua hari lalu mengakui MARA terjejas dengan penajaan oleh dua anak syarikatnya kepada TRW.
 
Kementeriannya juga mahu mendapatkan laporan penuh berhubung siasatan yang membabitkan tajaan itu, sambil menambah setiap penajaan perlu dihentikan buat sementara waktu.
 
"Jadi bila menteri kata sesuatu kita di bawah kena ambil tindakanlah, tidak perlu kita timbulkan polemik yang negatif," tambah Annuar lagi.
 
Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum ini telah menafikan dakwaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa beliau menggunakan kedudukannya di MARA dan UniKL untuk mendapatkan penajaan kepada TRW.
 
 

Tiada ulasan: