Khamis, 19 Januari 2017

.Amanah akan pastikan PAS tiada peranan di Selangor

ANTARAPOS.COM

Post Pic
PETALING JAYA: Amanah berikrar PAS tidak akan ada peranan jika Pakatan Harapan (PH) menang lagi di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, parti itu akan mempastikan PAS tidak lagi menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor seperti sekarang.
“Selagi mana PAS tidak masuk dalam PH, kita tidak akan ambil kira mereka,” katanya dipetik sebuah portal.
PH yang menyatukan PKR, DAP dan Amanah di samping kerjasama dengan PPBM, menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur ekoran perselisihan PAS dan DAP.
PAS kini mempunyai 13 kerusi daripada 56 kerusi negeri di Selangor, manakala 3 daripada exco negeri diwakili parti itu.
Negeri itu ditawan daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU 2008, dan sekali lagi dengan majoriti lebih besar pada 2013.
Salahuddin berkata, PAS kini bertahan di Selangor bukan demi akidah tetapi sebab kuasa.
“Mereka tersangkut di situ kerana kuasa, bukan demi akidah sangat. Yang lain mereka maki hamun, tetapi di Selangor tidak, ia kerana mereka ada kuasa,” katanya.
Salahuddin berkata salah satu sebab utama Pakatan akan terus memerintah Selangor adalah disebabkan kurangnya pemimpin berkaliber BN, khususnya Umno.
“Jangankan di Selangor, jika kita lihat di peringkat persekutuan, selepas Datuk Seri Najib Razak, siapa penggantinya? Bariskan siapa yang layak mengambil alih.
“Mereka (Umno dan BN) tidak ada pemimpin yang menyakinkan. Jika di Selangor, Datuk Seri Jamal Yunos lebih popular daripada Tan Sri Noh Omar,” katanya merujuk Jamal, ketua Umno Sungai Besar, dan Noh yang mengetuai Umno Selangor.
Salahuddin berkata apabila PAS tidak bersama PH, Amanah sebagai parti yang turut membawa ciri “Islamik” bertanggungjawab memenuhi kekosongan ditinggalkan PAS.

Tiada ulasan: