Rabu, 18 Januari 2017

Anina Cabar PPBM Pecat Keahlian Partinya

 
 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Anina Saadudin mencabar pucuk pimpinan parti memecat keahlian partinya jika beliau terbukti telah telah mencemar imej parti.

“Jika benar ada bukti sahih dan kukuh serta dengannya telah mencemarkan imej parti, maka saya mengesyorkan supaya saya dipecat dari parti,” cabarnya dalam Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membidas percanggahan kenyataan pimpinan PPBM berkenaan penyingkiran beliau sebagai Ketua Srikandi baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat empat percanggahan kenyataan pimpinan PPBM berkenaan isu tersebut :

1. Datuk Seri Mukhriz Mahathir (DSMM) menyatakan saya tidak disyorkan untuk menjadi Ketua Srikandi kerana isu peribadi yang menjejaskan imej parti.

2. Setiausaha Agung (Datuk Dr Shahruddin Md Salleh) menyatakan bahawa angkat sumpah jawatan Ketua Srikandi PPBM pada 2 November adalah kesalahan teknikal.

3. Ketua Penerangan (Datuk Kamarudin Md Nor) membuat kenyataan bahawa saya tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi sejak awal lagi.

4. Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) membuat kenyataan terakhir minggu lalu bahawa saya tidak mencapai prestasi seperti yang diharapkan.

Anina mempersoalkan kredibiliti Setiausaha Agung PPBM (SUA) berkaitan dengan dakwaan ‘kesilapan teknikal’ itu kerana ia bercanggah dengan kenyataan Muhyiddin dan Muhkriz yang telah mencanang nama beliau sebagai Ketua Srikandi sebelum ini.

“Di manakah kesilapan teknikal yang dimaksudkan oleh SUA ? Jika ianya terletak pada watikah angkat sumpah jawatan pada 2 November 2015 yang lalu, mungkin SUA boleh menyemak kembali watikah “original”. Beliau baru kembali dari Mekah, sudah pasti beliau akan bercakap benar.

“Jika saya tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi, adakah TSMY dan DSMM telah melakukan kesilapan setiap kali menyebut nama saya sebagai Ketua Srikandi dalam ucapan serta ceramah di seluruh negara?,” soalnya.

Beliau juga turut mempertikaikan kredibiliti Ketua Penerangan PPBM.

“Kamaruddin Mat Nor mungkin tidak sesuai memegang jawatan Ketua Penerangan jika gagal bercakap dengan tepat. Mungkin beliau tidak banyak tahu sejarah PPBM kerana baru muncul setelah ditawarkan jawatan tersebut.

“Saya telah mengangkat sumpah pada 2 November 2016 dan menyerahkan cadangan barisan kepimpinan Srikandi Pusat dan Negeri pada 17 November 2016 namun Presiden tidak membuat sebarang tindakan terhadap fail tersebut.

“Saya telah mengatur pertemuan dengan hampir kesemua Srikandi di negeri-negeri seluruh Semenanjung dan ianya dilakukan dalam tempoh 100 hari tanpa sesen pun peruntukan dari PPBM. Mungkin KPI nya dirahsiakan dari saya,” katanya.

Jelasnya, perjuangan beliau bukan untuk merebut jawatan Ketua Srikandi, malah beliau pernah mencadangkan Datuk Hamidah Osman dicalonkan untuk memegang jawatan ketua sayap wanita PPBM itu.

“Apabila parti diluluskan oleh ROS saya suarakan dalam mesyuarat Pro Tem di kediaman Tun M bahawa saya hanya ingin berada di barisan belakang dan berikanlah jawatan Ketua Wanita kepada Dato Hamidah yang jauh lebih berpengalaman.

“Saya masih ingat kali kedua Presiden menghubungi saya dan menyatakan hasrat bahawa beliau memilih saya berbanding calon lain kerana parti mahu tampilkan calon segar untuk mengemudi sayap wanita.

“Saya menolaknya sekali lagi dengan alasan saya menghormati senioriti dalam latar belakang kepimpinan dan ada saya sebutkan kepada Presiden bahawa saya mahu menjaga hati Dato Hamidah.

“Saya kira Presiden belum melupakan alasan saya tersebut,”katanya lagi.

Tiada ulasan: