Khamis, 29 Disember 2016

Kos tunai haji kekal

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Meskipun kos pengurusan haji meningkat saban tahun, namun Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kadar bayaran haji untuk jemaah negara kekal dan tidak berubah iaitu RM9,980 seorang.
 
Perdana Menteri memberitahu, kadar itu tidak berubah sejak tahun 2009 lagi walaupun kos pengurusan haji meningkat kepada RM19,550 seorang pada tahun depan.
 
Beliau berkata, kos selebihnya akan ditanggung oleh Tabung Haji dengan penambahan subsidi keseluruhan berjumlah RM200 juta untuk tahun 2017 berbanding RM160 juta pada tahun ini.
 
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita memelihara serta terus menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia dan membantu umat Islam menyempurnakan Rukun Islam kelima.
 
“Mudah-mudahan, Malaysia akan terus berada dalam peliharaan, dikurniakan rahmat keamanan dan kesejahteraan oleh Allah SWT, insya-Allah,” katanya menerusi entri terbaru di laman blog najibrazak.com hari ini.
 
Menurut Najib, kerajaan amat prihatin dan sedar bahawa umat Islam di negara ini menyimpan hasrat mengunjungi tanah suci sebagai tetamu Allah sekiranya berpeluang suatu hari nanti.
 
Jelas beliau, sekiranya suatu ketika dulu umat Islam di Malaysia terpaksa menyimpan selama berpuluh-puluh tahun lamanya sehingga ada yang menjual barang kemas, harta benda serta haiwan ternakan untuk menziarah tanah suci Mekah, tetapi kini urusan jemaah lebih mudah dengan adanya Tabung Haji.
 
“Selain memberikan ruang untuk umat Islam menyimpan wang secara beransur-ansur bagi melengkapkan perbelanjaan di tanah suci, Tabung Haji turut berperanan mengatur serta menguruskan pemergian jemaah ke kota Mekah dengan memastikan keselamatan, keselesaan dan kebajikan mereka terpelihara ketika menunaikan fardhu haji.
 
“Malah, lebih daripada itu, Tabung Haji turut memberikan subsidi buat jemaah haji bagi membantu memudahkan lagi urusan mereka dalam menyempurnakan ibadah dan memperoleh haji yang mabrur,” jelas beliau.
 
 

Tiada ulasan: