Jumaat, 30 Disember 2016

Kes JANS: 3 kena 37 tuduhan babit RM61.57 juta

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Selepas menjalankan siasatan selama hampir tiga bulan membabitkan jumlah dokumen sehingga setinggi bangunan dua tingkat dan hampir 100 individu dirakam percakapan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa bekas Pe­ngarah Jabatan Air Sabah, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54, bagi kesalahan menyeleweng dana infrastruktur air negeri.
 
Pendakwaan di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad di Mahkamah Sesyen di sini itu mendapat tumpuan apabila isteri Awang Mohd. Tahir iaitu Fauziah Piut, 51, dan bekas timbalan pengarah jabatan itu yang telah bersara, Lim Lam Beng, 62, turut didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram.
 
Awang Mohd. Tahir sebagai tertuduh pertama berdepan de­ngan 12 pertuduhan iaitu memiliki secara haram sebanyak RM56.9 juta yang ditemukan di rumah dan keretanya
serta di dalam akaun bank, beberapa kenderaan mewah dan 86 utas jam tangan mewah.
 
Beliau dan isteri didakwa me­lakukan kesalahan itu di Graceville, Sembulan pada Oktober lalu.
 
Sementara itu, Fauziah yang ditahan oleh SPRM semalam berdepan dengan 19 pertuduhan iaitu kesalahan memiliki secara haram wang sebanyak RM2.2 juta di dalam akaun bank di Sabah dan Semenanjung termasuk lebih RM600,000 dalam unit pelaburan dan 93 utas beg tangan daripada pelbagai jenama terkemuka di rumah mereka pada Oktober serta November lalu.
 
Selain pertuduhan individu, pasangan suami isteri berkenaan turut dituduh atas dua kesalahan iaitu secara bersama memiliki sebanyak 921 jenis pelbagai barang kemas dan barangan mewah yang tidak dinyatakan nilainya di lokasi sama pada bulan Oktober.
 
Dalam pada itu, Lam Beng yang juga merupakan bekas penasihat kewangan di Kementerian Kewangan negeri berdepan empat pertuduhan memiliki kereta mewah dan wang tunai secara haram berjumlah RM2.38 juta di beberapa lokasi pada Oktober serta November lalu.
 
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dan bagi pertuduhan individu, mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
 
Pertuduhan bersama antara Awang Mohd. Tahir dan isterinya pula dibuat mengikut akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
 
Selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Ummu Khaltom memberi kebenaran Awang Mohd. Tahir diikat jamin sebanyak RM10 juta dengan dua penjamin, isteri­nya sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin dan Lam Beng seba­nyak RM1 juta oleh dua penjamin.
 
 

Tiada ulasan: