Khamis, 1 Disember 2016

Kemuncak penderhakaan Tun M bersengkongkol dengan Soros - Najib

MALAYSIA GAZETTE


Ucapan perasmian Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Perhimpunan Agung UMNO ke 70 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 01 DISEMBER 2016.
Ucapan perasmian Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Perhimpunan Agung UMNO ke 70 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 
 
 
Tun Dr. Mahathir dahulunya negarawan terbilang kini sudah melakukan kemuncak penderhakaan kepada UMNO, bangsa dan tanah airnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja bersubahat dengan pembangkang seperti DAP tetapi sanggup bersengkongkol dengan penyangak matawang yang pernah dibencinya, George Soros.

"Dr. Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.

"Sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau yang pernah kita sanjung sebagai seorang tokoh dulu, kini, kini telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan pihak DAP,

Perhimpunan Haram BERSIH, Parti Amanah Negara, PKR dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak matawang.

"Hakikatnya, inilah dia satu bentuk kemuncak penderhakaan pada UMNO, bangsa dan tanah airnya," kata Najib semasa ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini hari ini.

Beliau yang juga Perdana Menteri juga melahirkan rasa kecewa dan hampa atas sikap Mahathir pada masa ini.

Najib juga membayangkan mimpi ngeri dan nasib buruk orang Melayu sekiranya tersilap memilih keindukan kepimpinan pembangkang yang DAP menjadi penentunya.

"Ertinya, orang-orang Melayu dan Bumiputera serta rakyat Malaysia keseluruhannya kini, sedang berdepan dengan satu persimpangan paling genting dalam tawarikh politik negara, di mana, pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti, para pengundi akan menentukan dengan pemikiran dan tangan-tangan mereka, di peti-peti undi akan siapakah yang sebaiknya menerajui pemerintahan negara ini.

"Pokoknya, persoalan pilihan keindukan kepimpinan ini bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan enteng-entengan, kerana saya khuatir, barangkali ada antara umat Melayu dan Bumiputera yang masih leka tentang hal ini.

"Pada ketetapan takdir ini kelaklah, sekiranya negara ini jatuh ke tangan DAP yang memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya, pastinya, hak dan keistimewaan yang diperjuang serta dipertahankan oleh UMNO selama ini, termasuk Institusi-institusi Bumiputera antaranya MARA, FELDA, RISDA, FELCRA dan TERAJU akan pupus dan lenyap.

"Begitulah juga institusi Pengajian Tinggi kebanggaan orang Melayu dan Bumiputera selama 60 tahun, yakni UiTM, tidak akan lagi mampu mengekalkan falsafah penubuhannya," ujarnya lagi.

Malah Najib berharap kalaulah orang-orang Melayu dan Bumiputera boleh menyelami apa yang tersurat serta isi maksud yang tersirat daripada ucapannya akan natijah buruk dan mimpi ngeri yang bakal tiba serta melanda hidup serta nasib mereka, beliau yakin orang-orang Melayu juga Bumiputera berasa takut dan bimbang, lalu akan berpaut seteguh-teguhnya kepada UMNO, sebagai satu-satunya parti yang mampu membela nasib anak cucu keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka.

Katanya, sekiranya tersilap pilih anak cucu kita nanti pasti tidak akan mengampunkan 'dosa' yang dilakukan.

"Apalah akan menimpa bangsa kita nanti? Bila semua sudah punah berkecai, apabila UMNO sudah tidak ada lagi, umpama kupang tembaga yang tidak berguna, apabila orang-orang Melayu sudah tidak ada tempat bergantung harap, akan tersungkur dan tertiaraplah, menjadi hina, merempat, mengemis, bahkan terbangsat di tanah sendiri.

"Pada masa itu, zahir UMNO akan tercarik dan luka, batin parti Keramat ini juga, pastinya menjerit-jerit dan luluh binasa. Alangkah berhiba-hiba di hati, tamatlah riwayat Melayu sejati. Nobat nafiri pun tiada bergema dan tidak akan berbunyi lagi," kata Najib.

Mengenai DAP, beliau melontarkan kebimbangan yang syiar Islam akan diremehkan sekiranya parti sosialis itu diberi tampuk kepimpinan.

"Bahkan, lebih dahsyat dari itu, jika dikaji Perlembagaan parti DAP, tiada langsung menyebut Islam sebagai agama Persekutuan, tidak dinyatakan untuk menjunjung institusi Raja-Raja Melayu dan tidak tertulis satu ayat pun, tentang usaha untuk melindungi hak dan keistimewaan Orang-Orang Melayu serta Bumiputera.

"Oleh itu, saudara dan saudariku sekalian, kita tidak akan sesekali membiarkan kesemua ini berlaku. Bak sumpah nenek moyang kita, langkah dulu mayat saya dan semua umat Melayu, kita akan bangkit dan pertahankan habis-habisan!" tegas Najib.

Kerajaan berindukkan UMNO, katanya, akan sentiasa istiqamah dan wasatiyah dalam menghargai semua golongan, tanpa mengira bangsa dan agama.

"Seiring itu, kepada rakan-rakan dan saudara-saudara kita rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak, usahlah bimbang, selagi mana Kerajaan Malaysia diinduki oleh kepimpinan UMNO, maka kami akan terus berlaku adil.

"Seperti mana yang dituntut dan diperintah oleh Tuhan di dalam Al-Quran, bersandarkan lebih berpuluh-puluh ayat suci, yang menganjurkan supaya pemimpin berlaku adil kepada semua,tidak kira apa latar belakang agama mahupun kepercayaan," katanya.

Tambahan lagi, menurut Najib, peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang menjamin hak dan kepentingan orang-orang bukan Islam, akan tetap dipelihara oleh Kerajaan tunjangan UMNO untuk selama-lamanya.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: