Ahad, 25 Disember 2016

Kanak-kanak 12 tahun ditahan jadi ‘keldai dadah’

ISMA WEB


Gambar hiasan

KUNAK– Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Jaya Baru, malam tadi, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, murid tahun enam itu dipercayai dijadikan ‘keldai dadah’ selain sebagai orang tengah yang aktif mengedar dadah sekitar daerah Kunak.

“Ketika serbuan, suspek duduk di sofa di ruang tamu rumah itu sambil memegang satu beg kecil mengandungi enam paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang di dalamnya berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat tujuh gram.

“Turut ditemui wang tunai RM60 yang disyaki hasil daripada jualan dadah,” katanya.

Mohd Nasaruddin juga berkata, siasatan mendapati suspek terbabit dalam aktiviti penjualan dan pengedaran bahan terlarang itu sejak hampir setahun lalu.

Susulan itu katanya, pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengesan dalang sebenar dan sindiket yang menggunakan kanak-kanak sebagai keldai dadah.

“Selain itu, kita akan memburu individu yang membekalkan bahan terlarang itu kepada suspek,” katanya.


Tiada ulasan: