Sabtu, 31 Disember 2016

JKR Ambil Alih Semua Projek Bina Bangunan Kerajaan

 Oleh: SIRA HABIBU
 
 


PETALING JAYA: Kementerian dan agensi kerajaan dilarang daripada terus melaksanakan pelbagai jenis projek pembinaan bangunan mulai sekarang.

Menerusi Rancangan Malaysia ke-11, pelaksanaan projek-projek berkenaan kini adalah tugas Jabatan Kerja Raya (JKR).

Berdasarkan notis bertarikh 16 Disember, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pelan pra-diluluskan (PAP) bagi 17 jenis bangunan telah disediakan dalam usaha untuk mengurangkan masa perancangan projek dan kos.

Peraturan baharu itu berkuatkuasa daripada tarikh notis dikeluarkan.

Ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan kementerian dan agensi diberitahu untuk memastikan bahawa semua projek dikemukakan dan dilaksanakan oleh JKR.

PAP memberi tumpuan kepada fungsi untuk mengurangkan proses yang rumit dan mahal.

"Ia adalah wajib untuk semua agensi kerajaan mematuhi syarat itu," kata Mohd Irwan.

JKR katanya juga tidak dibenarkan untuk memberi pengecualian kepada kementerian atau agensi mengenai perkara itu.

Jawatankuasa Tindakan Negara membuat keputusan pada 30 September lalu untuk tidak membenarkan kementerian dan agensi melaksanakan projek pembinaan sendiri.

Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk melaksanakan keputusan Majlis Tindakan Negara.

Sebelum ini, sepertimana yang diberikan dalam Pekeliling Perbendaharaan 182, kementerian dibenarkan untuk mendapatkan perkhidmatan perundingan apabila jabatan-jabatan teknikal JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran tidak mampu menyediakan perkhidmatan yang diperlukan.

Ketika itu sebahagian daripada garis panduan bagi pelaksanaan pelan kedua untuk Rancangan Malaysia Ke-10 dilaksanakan pada tahun 2012.

Walau bagaimanapun, Perbendaharaan tidak lagi membenarkan pengecualian itu.

"JKR perlu memastikan pengecualian kepada Pekeliling 182 tidak lagi diberikan kepada mana-mana kementerian atau agensi untuk memastikan kelancaran pelaksanaan keputusan Jawatankuasa Tindakan Negara," kata beliau.

JKR telah menyediakan 100 reka bentuk PAP untuk 17 jenis bangunan termasuk kuarters kerajaan, sekolah, pusat-pusat tahanan, balai polis, balai bomba dan penyelamat, bengkel, masjid, surau, dewan dan klinik kesihatan.

Bangunan lain adalah pejabat-pejabat kerajaan, asrama, klinik penjagaan dan rawatan, garaj, sekolah dan kemudahan sukan serta perpustakaan.

Mohd Irwan juga mengumumkan bahawa jawatankuasa Sistem Pembinaan Industri (IBS) telah dibubarkan.

"Isu-isu dasar IBS untuk projek-projek kerajaan boleh dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negara," katanya.

Walaupun semua projek kerajaan perlu dilaksanakan dengan menggunakan kaedah IBS, pengecualian boleh dibuat dengan persetujuan terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah JKR.

Walau bagaimanapun, pengecualian kepada peraturan IBS itu hanya boleh dibuat untuk projek bernilai RM10 juta di bawah, dan untuk pengubahsuaian struktur yang sedia ada yang tidak melibatkan pembinaan bangunan baru.

Tiada ulasan: