Sabtu, 31 Disember 2016

'Jamal kena beri kerjasama, bukan kejar populariti'

 Nur Jazlan Mohamed
Nur Jazlan Mohamed


JOHOR BAHRU - Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Seri Jamal Md Yunos diharap memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam menangani jenayah sekali gus tidak mengambil tindakan sendiri bagi meraih populariti dirinya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan pemilik Sekin Fishermen Village Hotel & Resort yang 'menyerbu' pusat judi haram, baru-baru ini, dibimbangi akan menjadi ikutan masyarakat sehingga boleh menimbulkan keadaan luar kawalan.

"Kami mahukan Jamal dan lain-lain bantu polis, bukan bawa media ke tempat itu (premis judi). Kalau hendak bagi maklumat kepada polis... bagi la maklumat. Jangan gunakannya untuk popularkan diri sendiri dan memburukkan polis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Pesta Memancing Sekampung di Sungai Skudai, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jamal serbu pusat judi Ampang pula]

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkenaan yang 'menyerbu' pusat judi haram di Sekinchan, Sabak Bernam dan Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Nur Jazlan berkata, pihak polis mempunyai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) yang sentiasa memantau aktiviti perjudian dan melakukan lawatan mengejut bagi menangani aktiviti berkenaan.

"Saya berharap tindakan Jamal ini dihentikan kerana kami tidak mahu menggalakkan aktiviti 'vigilante' iaitu rakyat mengambil tindakan ikut hati sendiri. Kalau rakyat sudah mula ambil tindakan sendiri, lama kelamaan keadaan keselamatan tidak terkawal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai melahirkan kekecewaan terhadap projek pemulihan Sungai Segget di Jalan Wong Ah Fook, di pusat bandar raya ini yang dilihat gagal memenuhi matlamat asal pemulihannya.

Nur Jazlan berkata, menerusi tinjauan beliau terhadap bahagian pertama sungai yang sudah dibuka, laluan sungai berkenaan didapati sempit dan tidak memenuhi matlamat untuk tarikan pelancongan.

Beliau berkata projek tersebut yang dipertanggungjawabkan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda) di bawah Pelan Transformasi Johor Bahru bertujuan meluruskan sungai dan mengatasi pengairan, namun, kejadian banjir kilat masih berlaku.

"Saya kecewa dengan Irda kerana pengurusan dan perancangan projek yang lemah...mungkin kerana pemilihan kontraktor dan konsultan dari luar Johor Bahru yang menyebabkan projek bernilai kira-kira RM200 juta itu belum siap sepenuhnya," katanya.

Menurut Nur Jazlan, projek pemulihan Sungai Segget sepatutnya siap awal Januari ini tetapi pada masa ini terdapat banyak kerja belum selesai di sepanjang laluan Jalan Wong Ah Fook termasuk tiga kejadian banjir kilat yang berlaku pada bulan ini. - Bernama


Tiada ulasan: