Isnin, 26 Disember 2016

HISBAH: Kesan dalang, bawa pesalah 1MBD ke muka pengadilan


OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM: Rakyat perlu untuk bersama-sama mengesan dan membawa pesalah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke muka pengadilan.

Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Dato’ Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, Hisbah mula mengumpulkan beberapa pengamal undang-undang yang bersedia membantu inisiatif itu.

“Kita mengumpul maklumat, mencari segala ruang undang-undang yang ada, bekerjasama dengan semua badan masyarakat dan institusi relevan lain sehingga dapat pastikan mereka bertanggungjawab dalam skandal 1MDB ini tidak terlepas daripada hukuman menerusi proses undang-undang di dalam dan luar negara.

1MDB

“Hisbah juga sudah mendapatkan khidmat beberapa individu dan syarikat perakaunan yang sedia membantu memastikan setiap langkah diambil mengikut lunas perakaunan dan undang-undang negara dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, dengan usaha begitu maruah negara yang tercalar akibat skandal 1MBD dapat diperbaiki dan Malaysia kembali dihormati.

Tambahnya lagi, inisiatif itu penting untuk mengembalikan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mempertahankan prinsip undang-undang terhadap setiap pesalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

“Kita membuka penyertaan awam kepada seluruh rakyat Malaysia yang mahu bersama inisiatif ini.
“Matlamat inisiatif ini ialah untuk mengesan dan membawa personaliti utama di dalam kes ini ke muka pengadilan,” katanya.=EZY=

Tiada ulasan: