Khamis, 29 Disember 2016

Felda suntik modal tanpa suara penentu, kata Rafizi

MALAYSIAKINI


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas keputusan Felda untuk memperolehi kepentingan 37 peratus dalam Eagle High Plantations (EHP) tanpa mempunyai suara penentu termasuk akses kepada bank tanah seluas 425,000 hektar milik firma di Indonesia itu.

Dalam satu kenyataan media, Rafizi berkata keputusan berhubung tanah dan isu lain berkaitan EHP masih akan ditentukan oleh jutawan Indonesia Tan Sri Peter Sondakh, yang akan terus menguasai firma berkenaan, walaupun pegangannya berkurangan kepada 31.6 peratus melalui Kumpulan Rajawali miliknya.

“Ini adalah kegilaan yang tidak pernah berlaku iaitu pemegang saham yang bukan terbesar mendapat kuasa mengawal syarikat,” kata Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan sambil merujuk kajian laporan CIMB dan Credit Suisse ke atas EHP pada Jun tahun lalu.

“Oleh yang demikian, tidak timbul soal Felda mempunyai akses kepada bank tanah yang besar kerana hakikatnya (berdasarkan rundingan asal dalam tahun 2015), Felda seolah-olah hanya menyuntik modal ke dalam EHP tanpa mempunyai suara penentu bagaimana perniagaan itu akan dilaksanakan,” katanya.

Ini, kata Rafizi, adalah di sebalik kebimbangan awalnya mengenai status kewangan semasa Felda dan keupayaan agensi persekutuan itu untuk membiayai pembelian saham bernilai AS$505.4 juta iaitu pada harga tiga kali melebihi nilai pasaran.

Rafizi, yang menyifatkan Sondakh sebagai sahabat karib Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, juga mempersoalkan sama ada Felda "dipaksa" untuk menyuntik dana ke dalam EHP tanpa sebarang kuasa untuk mengawal operasi syarikat berkenaan.

“Adakah Najib memainkan peranan untuk memaksa Felda menyuntik wang pada harga yang mahal ke dalam EHP untuk membantu sahabat karibnya Tan Sri Peter Sondakh sedangkan Felda tidak ada kuasa untuk mengawal operasi EHP?” soalnya.

Tiada ulasan: