Ahad, 25 Disember 2016

Azmin sokong cadangan rombak FAS

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong cadangan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya pengurusan persatuan bola sepak negeri itu dirombak semula.
 
Menerusi akaun rasmi Twitternya, Azmin berkata dia menyokong sepenuhnya mengenai cadangan itu dan mahukan mereka yang tidak lagi mampu memberi apa-apa sumbangan supaya berundur secara terhormat. 
 
"Saya menyokong 100 peratus cadangan daripada Tengku Amir Shah untuk merombak FAS. Mereka yang tidak lagi boleh membuat kerja yang diamanahkan seharusnya memberi peluang kepada mereka yang melakukannya. 
 
"Bola sepak adalah membabitkan sukan, pembinaan berpasukan dan kemahuan untuk berjaya dan tidak membabitkan politik. 
 
"Malah amaran Tengku Amir Shah terhadap kebergantungan kepada mentaliti yang mengharapkan subsidi juga tepat pada masanya dan itulah yang sepatutnya kita lakukan," katanya. 
 
Memetik laporan BH Online, konflik membabitkan pengurusan FAS nyata begitu membimbangkan sehingga mendapat perhatian Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. 
 
Menerusi akaun rasmi Instagramnya, beliau turut menyarankan 'orang lama' dalam organisasi terbabit supaya berundur diri dengan cara terhormat. 
 
Tambah beliau, mentaliti pengurusan FAS yang mengharapkan subsidi dan dana kerajaan negeri perlu dihapuskan selain rombakan penuh membabitkan Ahli Jawatankuasa (Exco) badan induk bola sepak negeri itu agar ia lebih relevan dan sesuai dengan kehendak generasi sekarang. 
 
Selain itu, Tengku Amir Shah juga menuntut Mohamed supaya memperkenalkan barisan baharu yang bebas daripada unsur-unsur politik, berdasarkan merit, bertenaga dan paling penting dapat membuahkan hasil yang positif terhadap pasukan bola sepak kesayangan rakyat Selangor.
 
 

Tiada ulasan: