Khamis, 24 November 2016

RUU Akta 355 bukan hudud, tapi takzir - Takiyuddin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar dan Azizul Osman
Post Pic
 
   
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata penangguhan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 adalah penting untuk memberi kefahaman mendalam terhadap bukan Islam.
 
Ia kerana salah faham yang terlalu banyak ditimbulkan yang mengaitkan RUU berkenaan sebagai membuka jalan terhadap pelaksanaan hudud.
 
"Saya hendak nafikan pindaan ini bukan hudud. Ia adalah (hukuman) takzir. 
 
"YB Marang jelaskan bahawa penangguhan ini disebabkan perlukan pemahaman yang lebih terhadap cadangan pindaan ini. Hari ini baru nak tengok, nanti kalau kita bahas hari ini, kata kita tak beri peluang untuk kaji," katanya ketika ditemui media di Dewan Rakyat hari ini.
 
Takiyuddin memberi reaksi terhadap penangguhan pembentangan RUU Akta 355 yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  dengan alasan masih ramai ahli parlimen, sama ada Islam dan bukan Islam tidak memahami mengapa RUU itu perlu disokong.
 
Penangguhan ini adalah kali kedua dibuat selepas Jun lalu, juga dengan alasan yang sama untuk memberi lebih masa kepada pelbagai pihak untuk memahami justifikasi pindaan Akta 355.
 
Pembentangan RUU Akta 355 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang parlimen yang akan datang pada Mac tahun depan.
 
"Pada sidang Dewan Rakyat Mac nanti, Hadi akan menghuraikan setiap satu cadangan pindaan itu, apa justifikasi dan asasnya," tambah Takiyuddin.
 
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata pihak partinya gembira dengan respon yang diberikan ahli-ahli parlimen bukan Islam yang memberi laluan kepada Hadi untuk membentangkan cadangan pindaan itu.
 
"Saya terkejut kerana hari ini digembar-gembrkan kononnya pimpinan parti politik bukan Islam akan menentang RUU ini. Presiden MCA dan Gerakan ada (dalam Dewan). Namun saya hormat kerana menggunakan saluran demokrasi, membenarkan pembentangan, jika nak bantah ketika perbahasan nanti. Kita berikan peluang kepada mereka untuk berbahas," ujarnya lagi.
 
Beliau dalam masa sama turut iajukan pembentukan satu jawatankuasa untuk menilai semula usul PAS itu sebagaimana dicadangkan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Mujahid Yusof Rawa.
 
"Jika kerajaan mengambil usaha untuk tubuhkan jawatankuasa, kita bersedia. Sebab itu saya sokong cadangan Mujahid.
 
"Namun buat masa ini ia tak boleh dibuat lagi memandangkan ia adalah RUU Persendirian. Yang boleh buat hanyalah pihak kerajaan, maka kena tunggu sehingga selesai bacaan pertama kemudian dibawa oleh kerajaan," kata Takiyuddin lagi.
 
Pindaan RUU Akta 355 ini dibuat bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang selama ini amat terhad iaitu hukuman penjara maksimum hanya tiga tahun, denda maksimum RM5000 dan hukuman sebatan maksimum enam kali sahaja.
 
Melalui pindaan yang dibawa Hadi, jumlah hukuman itu mahu ditingkatkan menjadi - hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan hukuman sebatan maksimum 100 kali sebatan (syarie).
 
 

Tiada ulasan: