Rabu, 30 November 2016

Rohani: Polis akan hubungi Al Jazeera siasat laporan jual bayi

 
Rohani berkata, siasatan lanjut kementerian dan agensi berkaitan seperti KDN, Kementerian Luar dan JPN giat dijalankan.


Rohani-Abdul-Karim2_bayi_600


PUTRAJAYA: Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat hari ini menafikan dakwaan pemerdagangan bayi yang dikatakan berleluasa di negara ini seperti dilaporkan stesen televisyen Al Jazeera.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, laporan bertajuk ‘Malaysia: Babies for Sale-101-East’ yang disiarkan Al Jazeera, kononnya Malaysia adalah hab penjualan bayi merupakan satu dakwaan serius dan tidak mencerminkan keadaan sebenar di negara ini.

“Dokumentari itu ada alirannya dan seolah-olah menggambarkan begitu mudah menjual bayi di negara ini. Ini adalah tidak benar.

“Ia (penjualan bayi) tidak berleluasa di negara ini. Ia pernah berlaku kira-kira 3 tahun dulu, malah siasatan dijalankan dan tangkapan juga dibuat. Pada masa sama, bayi yang terlibat juga sudah diselamatkan,” katanya hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat membabitkan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia berhubung dakwaan yang disiarkan stesen televisyen asing itu.

Sementara itu, Rohani berkata, polis juga berhubung dengan kru produksi stesen televisyen Al Jazeera yang terbabit dalam penerbitan dokumentari itu untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kesahihan laporan tersebut.

Beliau berkata, siasatan lanjut kementerian dan agensi berkaitan seperti KDN, Kementerian Luar dan JPN giat dijalankan, selain polis turut menubuhkan satu unit khas untuk siasatan lanjut berhubung laporan itu.

“Kita juga memerlukan maklumat lanjut sama ada bayi berkenaan benar-benar dijadikan anak angkat atau untuk tujuan lain seperti jenayah seksual, buruh atau penjualan organ,” katanya.

Sementara itu, Rohani juga menjelaskan proses mengambil anak angkat secara sah bukan susah dan rumit sehingga mengambil masa bertahun-tahun seperti yang dilaporkan dokumentari itu.

Beliau berkata, proses mengambil anak angkat sudah dipermudahkan, termasuk boleh didaftarkan secara dalam talian.

“Namun begitu, Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu menjalani penapisan dan pengesahan bagi memastikan hanya mereka yang layak dan benar-benar sahaja mendapat anak angkat. Ini mengambil sedikit masa,” katanya.

Tiada ulasan: