Isnin, 31 Oktober 2016

Pertanyaan Husni tentang 1MDB di Dewan Rakyat tidak menyalahi peraturan parti

MALAYSIA GAZETTE




Tindakan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah melontarkan pertanyaan demi pertanyaan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk mengapa entiti itu perlu ditubuhkan dalam perbahasan Bajet 2017 tidak melanggar peraturan parti.

Malah menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, jika disemak rekod soalan-soalan yang dibangkitkan sebelum ini, sememangnya ada dalam kalangan ahli parlimen dari UMNO dan Barisan Nasional yang menegur kerajaan dalam Dewan Rakyat.

"Dalam sudut parti ahli parlimen kita bebas untuk bersuara, sebelum ini ada juga ahli parlimen kita yang tegur kerajaan jadi dari sudut itu setakat ini, kita tidak nampak ia ada melanggar mana-mana peraturan peringkat parti.

"Tapi kalau ikut undang-undang semasa itu polis perlu siasat dan menentukannya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Husni dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Dalam perbahasan ucapan Bajet 2017 itu, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan tujuan 1MDB ditubuhkan, selain tindakan yang mungkin dikenakan terhadap pengurusan agensi itu jika didapati bersalah.

Hari ini Husni dipanggil ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi kenyataan berhubung perkara itu. Bagaimanapun proses mengambil keterangan itu ditangguhkan.

Sementara itu, katanya ahli parlimen juga perlu diingatkan bahawa, bukan semua perkara boleh dibahaskan oleh mereka dalam Dewan Rakyat, walaupun mereka mempunyai imuniti.

‎"Ahli parlimen tidak tertakluk sepenuhnya dalam imuniti parlimen...ada yang masih tertakluk undang-undang tertentu iaitu melibatkan Raja Melayu, hasutan, fitnah," katanya lagi

Tiada ulasan: