Isnin, 31 Oktober 2016

Mahkamah arah Rafizi bayar NFC RM200,000

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli membayar ganti rugi RM200,000 kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, kerana memfitnah. 
 
Ia adalah berhubung kenyataan Mohd Rafizi berkaitan pinjaman pembelian hartanah KL Eco City, Bangsar. 
 
Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan saman NFCorp dan Mohamad Salleh selaku plaintif selepas mendapati kenyataan dikeluarkan Mohd Rafizi, adalah memfitnah. 
 
Azizul Azmi dalam penghakiman beliau berkata, perkataan 'diselewengkan' dikeluarkan Mohd Rafizi adalah serius dan ia membayangkan perlakuan jenayah. 
 
Dalam writ saman dan penyata tuntutan difailkan pada 23 Jun 2013, plaintif menamakan Mohd Rafizi dan pemilik portal Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd selaku defendan pertama dan kedua. 
 
Plaintif mendakwa, Mohd Rafizi pada 7 Mac 2012, mengeluarkan kenyataan fitnah pada satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City dan berita itu disiarkan Malaysiakini pada hari sama. 
 
Plaintif berkata, saman berkenaan difailkan kerana kerugian yang ditanggung susulan pembohongan, penyebaran maklumat mengelirukan serta pendedahan maklumat sulit perbankan dan fitnah oleh defendan. 
 
Mereka menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengelirukan dan menipu orang ramai berhubung isu pinjaman itu.
 
 

Tiada ulasan: