Sabtu, 29 Oktober 2016

Jasad lelaki ucap selamat tinggal di Facebook dijumpai

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI

Jasad seorang lelaki yang terjun dari jambatan kedua Pulau Pinang pada Rabu lalu, selepas meninggalkan catatan terakhir di Facebook, ditemui hari ini.

Dalam catatan yang panjang lebar dan tersebar meluas di laman sosial itu, Mohd Sukri Saad, 38, berkata dirinya tertekan oleh "kerajaan yang zalim" dan akan didakwa kerana menjual rokok seludup bernilai RM360.

Berdepan dengan kemungkinan penjara dan denda yang besar, dia mengakui bahawa apa yang dilakukannya itu adalah salah, namun hukuman berkenaan terlalu berat.

"Ya, aku mengaku salah perkara itu salah... tapi hukumannya tak setimpal," katanya sambil membandingkan jenayah yang dilakukan dengan "pengarah yang mencuri jutaan ringgit tetapi kemudiannya dibebaskan dengan jaminan".

Walaupun dia sepatutnya hadir di mahkamah pada Rabu lalu, Mohd Sukri berkata beliau memutuskan untuk tidak berbuat demikian kerana tidak lagi mempunyai wang dan menanggung banyak beban.

"Celaka punya pimpinan kerajaan sekarang... berniaga kedai runcit kampung je bukan untung besar pun, margin cukup nipis dibebani dengan cukai GST lagi. Memang kerajaan sekarang zalim," katanya.

Mohd Sukri berkata, dia sebaliknya memilih untuk “berkorban sebagai rakyat yang dizalimi...," walaupun menyedari akan dikutuk dan dikritik kerana pilihan itu.

“Chek (saya) tak ada pilihan.... maafkan saya, maafkan saya.... saya tak sangup dipenjara....

“Untuk isteriku, abang amat menyayangimu sayang tapi abang bukan yang terbaik. Carilah yang terbaik nanti demi sayang dan anak-anak...

“Dan untuk adik-beradikku yang lain peliharalah mak, .... baliklah jengok dia... jangan biar dia menangis sendirian kerana rindukan anaknya yang jarang balik.

“Sekian. Sekali lagi maafkan abah.... maafkan abang sayang.... maafkan chek mak... ku tak sanggup lagi menyusahkan orang dengan meminjam duit,” katanya.

Menurutnya, pada mula, dia memilih untuk ke penjara, tetapi tidak jadi kerana tidak mahu anak-anaknya akan dilabel sebagai anak-anak banduan.

Dalam surat itu, Mohd Sukri turut merayu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar tidak tertipu oleh Umno, yang dakwanya hanya berpura-pura menyokong rang undang-undang ahli persendirian Hadi yang bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)1965.

“Jangan la tertipu dgn pimpinan Umno, depa wayang je kata dok sokong rang undang undang yang nak dibawa itu agar pembangkang berpecah.

“Bersatulah kembali menjadi pembangkang yang kuat... agar nasib (rakyat) macam aku terbela.

“Nanti dah jadi kerajaan media dah dikawal, senang nak yakinkan rakyat tentang rang (undang-undang) yang nak dibawa itu,” katanya,

Mohd Sukri mengakhiri tulisannya dengan “ashaduanlailahailalah....waashaduannamurhadan rasullalah.... maafkan aku.”

Catatannya itu yang tersebar di media sosial turut dikongsi bersama oleh ramai orang di Facebook, termasuk oleh ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang berkata parlimen perlu usul khas mengenai kematian Sukri.

Menurut pihak berkuasa, jenazah allayarham ditemui pada jam 9 pagi ini, kira-kira satu batu nautika dari tempat dia dipercayai terjun.

Jasadnya telah dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Motosikal, selipar dan telefon bimbit Mohd Shukri dijumpai pada pagi Rabu lalu di tepi jambatan dan ini mencetuskan operasi mencari oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Tiada ulasan: