Khamis, 27 Oktober 2016

Hakim baru dengar kes saman fitnah Maria-Jamal

 
Pihaknya menerima surat mahkamah yang memaklumkan hakim baru akan ditugaskan mendengar kes saman fitnah Maria Chin tanpa memberi sebarang alasan, kata peguam.


jamal-maria-1


KUALA LUMPUR: Seorang hakim baru akan ditugaskan mendengar saman fitnah Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah terhadap pemimpin Baju Merah, Datuk Jamal Yunos.

Peguam Maria, Melissa Sasidaran berkata pihaknya menerima surat daripada pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi yang memaklumkan Hakim Zaki Abdul Wahad akan mengambil alih daripada Hakim S Nantha Balan.

“Plaintif dan defendan perlu merayu pada 1 November di hadapan Timbalan Pendaftar (Norfauzani Mohd Nordin).”

“Keputusan menukar hakim perbicaraan adalah arahan daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan Hakim Azahar Mohamed,” kata surat mahkamah itu, tanpa memberikan sebarang alasan berhubung perkara itu.

Hakim Azahar kini berkhidmat sebagai sebagai hakim pengurusan Mahkamah Kuala Lumpur.

Melissa juga berkata mereka akan bertemu Jamal bulan depan untuk menyampaikan salinan saman itu kepadanya.

Pada 7 Oktober, Maria menyaman Jamal, yang juga ketua Umno Sungai Besar kerana mendakwa Bersih ialah ejen Islamic State (IS) semasa sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Bukit Aman.

Beliau mendakwa reputasinya tercalar dengan kenyataan Jamal yang mengaitkan beliau bersubahat dengan kumpulan pengganas, meminta tindakan undang-undang diambil ke atas beliau.

Sebelum ini beliau ada menghantar surat tuntutan pada 4 Oktober, meminta Jamal memohon maaf atas kenyataannya itu dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun, Jamal mengadakan sidang akhbar pada keesokan harinya dan memberitahu pemberita yang beliau tidak akan memohon maaf.

Beliau juga membuang surat tuntutan berkenaan ke dalam tandas.

Tiada ulasan: