Isnin, 31 Oktober 2016

Cukai lapangan terbang naik

 
 


Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan kadar baharu Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) atau lebih dikenali sebagai cukai lapangan terbang berkuatkuasa 1 Januari ini.

Ini melibatkan semua lapangan terbang di negara ini termasuk terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Dalam kenyataannya, Mavcom mengumumkan caj baharu bagi perlepasan antarabangsa adalah RM73 berbanding RM65 sebelum ini.

Manakala bagi destinasi ASEAN pula, kadarnya ditetapkan pada RM35 bagi perlepasan dari semua lapangan terbang.

Sebelum ini perlepasan ke destinasi ASEAN dikenakan caj pada kadar penerbangan antarabangsa mengikut lapangan terbang iaitu RM65 di KLIA, RM32 di klia2 dan Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu serta RM26 bagi lapangan-lapangan terbang lain.

Bagi penerbangan domestik pula, penumpang perlu membayar PSC sebanyak RM11 berbanding RM9 sekiranya berlepas dari lapangan terbang lain selain klia2 dan Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Ketika ini, penumpang hanya membayar RM6 bagi perlepasan domestik dari dua lapangan terbang berkenaan.

PSC dikutip oleh syarikat penerbangan semasa pembelian tiket kapal terbang dan dibayar kepada pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Bhd. (MAHB) selepas tamatnya penerbangan.

Penumpang yang tidak terbang selepas membeli tiket mereka layak untuk mendapat pulangan penuh PSC masing-masing.

Menurut Mavcom, struktur baharu PSC ini merupakan langkah pertama untuk menyamakan kadar caj di KLIA dan klia2 serta bagi penerbangan-penerbagan antarabangsa.

"Ini sejajar dengan garis panduan antarabangsa termasuk Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menekankan prinsip tiada diskriminasi dalam meletakkan caj di lapangan-lapangan terbang," katanya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: