Ahad, 30 Oktober 2016

Bas percuma Smart Selangor diperluas ke Puchong & Kinrara

OLEH NORHAYATI UMOR


SUBANG JAYA: Dua laluan baru bagi perkhidmatan bas percuma Smart Selangor diperluaskan ke kawasan Puchong dan Kinrara, bermula Jumaat ini (28 Oktober).

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, laluan baru itu dibuka ekoran sambutan memberangsangkan di sekitar pentadbiran.

Katanya, laluan baru itu dijangka mempunyai bilangan ‘ridership’ yang tinggi kerana menghubungkan antara Puchong dan Subang Jaya yang tidak mempunyai perkhidmatan bas ketika ini.

“Begitu juga dengan laluan Kinrara. Ia diintegrasi dengan baik yang menghubungkan stesen LRT dengan kediaman penduduk yang berkepadatan sederhana dan tinggi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan, di sini.

Nor Hisham berkata sebanyak RM1.25 juta diperuntukan Kerajaan Negeri bagi satu laluan manakala satu laluan lagi di bawah tanggungan MPSJ.

“Empat buah bas disediakan dan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM2.5 juta. ‘Business model’ yang diberikan untuk 12 meter bas adalah RM800 sehari.

“Kaedah perlaksanaan perkhidmatan bas MPSJ dilaksanakan melalui pendekatan kaedah kontrak/perjanjian antara MPSJ dengan Rapid KL dari tempoh pelaksanaan 12 bulan,” katanya.

Laluan 2 akan membabitkan Tesco Puchong-IOI- Mall Sunway Medical Centre-Sunway Piramid-Kompleks 3C-LRT SS18-Kolej Inti-Skypod Residence-Tesco Puchong.

Laluan 3 membabitkan LRT BK5-SMK Bandar Kinrara-Pasar Pagi TK3-SMK Batu 8-SMK Bandar Puchong Jaya-Taman Paik Siong-Kinrara Court-LRTBK5.

Pelaksanaan perkhidmatan itu sebagai galakan kepada penduduk untuk meningkatkan ‘modal share’ iaitu menggalakan penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.EZY

Tiada ulasan: