Isnin, 31 Oktober 2016

Bajet defisit Selangor terus catat peningkatan

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor hari ini membentangkan bajet defisit bagi tahun 2017 yang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM900 juta, dalam tempoh lapan tahun sejak PKR mengambil alih pada tahun 2008.
 
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan bajet tersebut pada sidang DUN Selangor hari ini memberitahu, peningkatan defisit itu berpunca daripada peningkatan substantif dalam perbelanjaan pembangunan untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan yang berkualiti untuk rakyat.
 
Untuk rekod, bajet defisit bagi tahun 2016 mencatat jumlah RM630 juta.
 
Bertemakan 'Membangun Bangsa, Memakmur Negeri', kerajaan negeri mengganggarkan perbelanjaan negeri berjumlah RM3.450 bilion untuk tahun 2017 bagi melaksanakan perancangan dan agenda kerajaan negeri.
 
"Kerajaan Negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan Tahun 2017 berjumlah RM3.450 bilion bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda Kerajaan Negeri.
 
"Daripada jumlah itu, RM1.65 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan RM1.8 bilion atau 52.2 peratus bagi perbelanjaan pembangunan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2017 negeri itu di sini hari ini.
 
Beliau mendakwa ini adalah perbelanjaan pembangunan yang terbesar diperuntukkan di Selangor.
 
Sementara itu, menurut Azmin lagi, skim air percuma diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM 183.2 juta untuk program berkenaan bagi tahun 2017. 
 
Malah Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 35 peratus kepada 29 peratus pada 2019. 
 
"Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM324 juta diperuntukkan untuk mengatasi masalah paip pecah dan program penggantian paip-paip lama di 84 kawasan hotspot yang meliputi 422.5 kilometer untuk tempoh tiga tahun mulai tahun 2016," katanya.
 
Kerajaan Negeri juga menurut Azmin akan meningkatkan peruntukan kawalan dan pencegahan denggi dan zika bagi tahun 2017 kepada RM5 juta berbanding hanya RM1.5 juta pada 2016.
 
 

Tiada ulasan: