Sabtu, 29 Oktober 2016

2 rakyat Malaysia ditahan di Bali cuba seludup dadah

 
Aliff Affan Azhar dan Muhammad Shahzadi Shariff ditahan pada 20 Oktober lalu sebaik tiba di lapangan terbang itu dengan pesawat MAS MH 851 dari Kuala Lumpur.


dadah


BALI: Pegawai Kastam dan Eksais di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar, di sini, menahan 2 warganegara Malaysia kerana melakukan cubaan menyeludup dadah ke pulau pelancongan itu.

Jakarta Post melaporkan Aliff Affan Azhar dan Muhammad Shahzadi Shariff ditahan pada 20 Oktober lalu sebaik tiba di lapangan terbang itu dengan pesawat MAS MH 851 dari Kuala Lumpur.

Ketua Kastam dan Eksais Ngurah Rai Budi Harjanto berkata pegawainya menemui 70.67 gram marijuana, 2.89 gram syabu, 15 pil ekstasi dan 150 pil nimetazepam (Happy 5).

“Mereka dikatakan menyembunyikan marijuana di dalam stoking. Sementara itu, syabu, ekstasi dan pil Happy 5 ditemui dalam bagasi Aliff,” katanya pada sidang akhbar semalam dipetik daripada akhbar itu.

Beliau berkata kedua-dua suspek kelihatan mencurigakan ketika bagasi mereka sedang diimbas di mesin x-ray menyebabkan pegawai menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas beg mereka, selain memeriksa kedua-dua suspek.

Bahagian Dadah Polis Bali akan meneruskan siasatan terhadap kedua-dua suspek dan bahan bukti diserahkan kepada polis semalam.

Jika didapati bersalah mereka boleh dipenjarakan 15 tahun dan denda AS$765,404 setiap seorang atas pendakwaan mengikut Artikel 113 (1) undang-undang Narkotik 2009.

Setakat ini pegawai Kastam dan Eksais Ngurah Rai menggagalkan 38 cubaan menyeludup dadah ke Bali sejak 2014 dengan jumlah rampasan 18,891 kg.

Tiada ulasan: