Selasa, 27 September 2016

Zika: KKM beri input kepada Majlis Fatwa

SINAR HARIAN
Zika


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan membentangkan input perubatan dan saintifik mengenai virus Zika, termasuk insiden jangkitan kepada ibu mengandung, kepada Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, kata Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.   

Beliau berkata tiada keputusan muktamad berkaitan pendirian pengguguran bayi bagi ibu dijangkiti virus Zika dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Mengenai Zika dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang turut disertai Majlis Fatwa.
 
"Buat masa ini, Kementerian Kesihatan akan meneruskan dasar sedia ada berhubung jangkitan Zika," katanya ketika ditanya pemberita mengenai mesyuarat Kementerian Kesihatan bersama Majlis Fatwa dan beberapa agensi berkaitan semalam.  

Ditemui selepas menghadiri Persidangan Pelan Tindakan Kesihatan Alam Sekitar Kebangsaan di sini hari ini, Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan diwakili Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Chen Chaw Min pada mesyuarat mengenai Zika itu.  

Laporan sebelum ini menyebut Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa berhubung pendirian bersama mengenai pengguguran bagi ibu yang dijangkiti virus zika yang boleh menyebabkan bayi dijangkiti mikrocephali dan mengalami kecacatan.

Kabinet sebelum ini mengarahkan Kementerian Kesihatan membincangkan perkara itu dengan Majlis Fatwa bagi mendapatkan konsensus kebangsaan tentang bagaimana untuk mengendalikan isu tersebut.  

Setakat ini, hanya Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan bahawa ibu mengandung yang dijangkiti virus Zika dibenarkan melakukan pengguguran.   

Undang-undang sedia ada di negara ini pula hanya membenarkan pengguguran jika ia mendatangkan risiko kepada nyawa ibu.   

Sehingga semalam, kes jangkitan Zika di negara ini kekal enam dengan satu daripadanya melibatkan wanita mengandung di Johor Bahru. - Bernama


Tiada ulasan: