Ahad, 25 September 2016

PRU14: Pas tetap lawan Umno

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan


SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mengulangi pendirian parti Islam itu tidak akan sesekali bergabung dengan Umno dalam PRU akan datang.

Malah katanya, Pas telah menetapkan pendirian untuk kekal melawan Umno di mana-mana kerusi yang ditandinginya.

“Pendirian jelas Pas ini sudah diketahui, difahami dan diterima oleh ahli-ahli Pas dan orang awam khususnya dalam kalangan kaum Melayu dan beragama Islam.

“Sikap Pas terhadap pelbagai pihak termasuk BN serta kerajaan pula yang berasaskan kepada ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)’ juga mendapat reaksi positif dan sokongan oleh rakyat bervariasi kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membidas laporan berita dari sebuah akhbar Cina yang mendakwa Pas dan Umno telah bergabung untuk merampas Selangor daripada pihak pembangkang.

Mengulas mengenai tajuk berita berkenaan, Nasrudin berkata, laporan berita itu hanya ditulis berdasarkan kenyataan pemimpin DAP, Liew Chin Tong dan ia bukan daripada sumber yang tepat.

Katanya, kenyataan pemimpin DAP itu hanya berniat untuk menyebarkan keraguan dan meruntuhkan keyakinan orang awam terhadap Pas.

Chin Tong dikatakan mengulas mengenai gabungan antara Pas dan Umno bagi memenangi Selangor pada pilihan raya akan datang.

Pendapat Chin Tong disiarkan dalam tajuk “Umno-Pas cooperation to win power in Selangor: a pact not to fight each other” pada 18 September lalu.

“Suka saya tegaskan bahawa bukannya pendirian dan sikap politik Pas yang tidak jelas, sebaliknya cara dan matlamat berpolitik DAP lah yang sudah tidak lagi relevan.

“Kenyataan berasaskan persepsi dan propaganda jahat bukanlah cara yang sihat dalam berpolitik. Namun, adalah amat dikesali apabila cara itu masih digunapakai sebahagian pimpinan DAP bagi melaraskan peluru dendam terhadap Pas,” katanya lagi.

Tiada ulasan: