Jumaat, 30 September 2016

Kerjasama boleh dicapai jika pembangkang terima Gagasan Sejahtera - PAS Kelantan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kerjasama PAS bersama parti-parti pembangkang yang lain hanya boleh dicapai sekiranya mereka menerima Gagasan Sejahtera, tegas seorang pemimpin PAS Kelantan.  
 
Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata demikian mengulas gesaan beberapa parti politik pembangkang yang mahu PAS turut 'bersama' dalam usaha menentang Umno-Barisan Nasional (BN) dengan mewujudkan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
 
Gagasan Sejahtera adalah blok baru yang dianggotai PAS bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa). 
 
"Jika semua sepakat dan menerima Gagasan Sejahtera, ia akan menjadi tindakan berjaya. Jika mereka tidak terima, maka tak boleh bersama. 
 
"Kita tidak pernah tutup ruang perbincangan. Jika ia benar berlaku, maka ia satu langkah positif, langkah yang baik," ujarnya kepada Antarapos, hari ini.
 
Sebelum ini PKR dan DAP menyuarakan gesaan mereka terhadap PAS supaya bersatu dalam usaha mengalahkan Umno-BN supaya tidak berlakunya pertandingan tiga penjuru.
 
Bagaimanapun langkah itu kurang disenangi PAS memandangkan ia secara langsung 'menjalin' kerjasama dengan Amanah, yang merupakan parti serpihannya.
 
Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP terkubur tahun lalu ekoran perbalahan berterusan PAS dengan DAP yang enggan bersetuju bersabit dasar Islam yang dibawa PAS.
 
Hingga kini, PAS hanya mengekalkan tahaluf siyasinya dengan PKR, berdasarkan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor.
 
Kerjasama PAS dan pembangkang dikatakan akan digerakkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),  Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal berkongsi pentas dengan beberapa pimpinan tertinggi PAS di Kuala Terengganu esok.
 
Diajukan hal itu, Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan menyifatkan ia perkara yang baik dalam tujuan memastikan pembangkang tidak bertembung kerusi sesama mereka.
 
"Yang kita bincang sekarang adalah untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN. 
 
Muhyiddin sebelum ini menyatakan keyakinannya mampu menjadi pengikat agar PAS bersama pembangkang dalam usaha mengelakkan pertandingan tiga penjuru pads PRU14.
 
Menerusi Program 'Himpunan Harapan Semua' di Terengganu esok, Muhyiddin akan bersama bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Yahaya Ali.
 
 

Tiada ulasan: