Rabu, 21 September 2016

Kemanusiaan yang sedang mati di Malaysia


 
Oleh Ishak Sairozi


Kemegahan Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum dicanang serata dunia sebagai harmoni dan sentosa membanggakan Malaysia. Walaupun negara ini terpisah dengan Laut China Selatan, ia masih diangkat dan dinobat kerana perpaduannya adalah yang paling terkenal di serantau dunia.

Nilai murni yang ditanam, toleransi dan hidup berbudi dalam kalangan masyarakat pada hari ini hanya sejarah yang kita pernah miliki.

Masyarakatnya bertamadun, kaya-raya, berjaya namun seakan hilang nilai murni sebagai manusia. Di zaman millennia, kereta berjenama megah menyusur jalan raya, rakyatnya pula hilang asas pembentukan tamadun yang paling mulia iaitu budi bahasa.

Berkemeja kemas, berkasut tumit tinggi, daripada kereta Kancil hingga Audi, kita sudah berjaya dari segi kehidupan dan kesenangan, tetapi dari segi budi pekerti kita semakin hilang jati diri. Benarkah budi bahasa bukan lagi budaya yang dibanggakan?

Kenyataan ini amat berat untuk kita terima, ia umpama tohmahan negatif, tetapi persoalan ini timbul tatkala melihat reaksi masyarakat negara kita yang tanpa segan silu melontar pelbagai kata nista, fitnah dan kata menghina atas pemergian insan-insan ternama.

Kematian seorang tokoh agama yang disegani Datuk Dr Haron Din misalnya, dirai mereka yang tidak menyukai latar belakang agamanya. Dr Haron Din, seorang tokoh agama yang ilmunya penuh di dada, berbakti kepada ribuan manusia tetapi kematiannya dikeji dan dibenci hanya kerana latar belakangnya tidak sama dan tidak disukai oleh mereka yang tidak sealiran dengannya.

Pelbagai kejian dilempar, lebih hina mempertikai tempat arwah dikebumi di luar negara yang digelar tanah kafir. Tuhankah kita semua sehingga berkuasa memberikan gelaran kafir di tempat yang dicipta oleh pemilik sekalian alam?

Keadaan ini, turut dihadapi oleh seorang anggota Puteri UMNO yang kemalangan selepas keretanya terbabas. Kematian ialah lambang keinsafan yang harus diambil sebagai pengajaran.

Malangnya, mereka yang tidak sepakat dengan pimpinan Barisan Nasional, melemparkan tohmahan dan hinaan terhadap arwah yang masih belum merah tanah kuburnya.

Budaya apakah ini? Adakah perbezaan parti menghalalkan kita meraikan kehilangan nyawa seorang manusia yang ditimpa musibah kemalangan yang menyedihkan?

Ini bukanlah yang pertama di Malaysia. Kenyataan berbentuk penghinaan pernah berlaku terhadap ahli DAP, Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan yang menyayat hati. Ketika itu, ramai yang dengan senang hatinya mengeluarkan kenyataan mahu melangkah mayatnya dahulu.

Mana kemanusiaan? Mana budi bahasa? Mana nilai pekerti seorang manusia? Ini adalah kesilapan besar kita dalam hidup sebagai rakyat yang sejahtera dan harmoni.

Dalam tidak sedar kita menjadi tuhan dan merasakan boleh buat apa sahaja menggunakan hak dan kebebasan bersuara. Kita rasa meraikan kematian orang yang kita tidak suka adalah balasan dendam yang biasa.

Ini adalah silap kita sebagai manusia. Kematian adalah pengajaran kepada manusia. Kematian adalah usaha Tuhan untuk menunjukkan kepada kita, adakah kita rasa boleh hidup lama?

Pada hari ini, kita seharusnya bermuhasabah diri, menilai apa yang berlaku kini. Jika kita tidak
boleh bersikap simpati terhadap si mati, sedarlah bahawa kemanusiaan dalam diri kita sudah mati.

Amalkan sifat empati, kerana hari ini cacian dan kejian kita terhadap si mati yang kita benci, mungkin satu hari akan diterima oleh keluarga kita, atau diri kita sendiri apabila tibanya mati.

Artikel ini bukanlah untuk kita mengingati mati. Ini adalah usaha untuk menyelamatkan pertelingkahan kaum yang wujud kerana kematian 3 orang ternama di Malaysia.

Berhentilah mencari kesalahan sesama kaum. Hapuskan sentimen “chauvinis”, “islamophobia” dan pengkafiran serta sifat menghukum dalam kalangan masyarakat.

Hidupkan semula kemanusiaan yang semakin uzur dengan cara menghormati, mengkasihi, berempati dan berbudi bahasa sesama kita.

Semoga Malaysia akan terus hidup dalam suasana aman dan harmoni dan kembali berbangga sebagai sebuah negara bangsa yang disegani dengan budi pekerti mulia.

Ishak Sairozi ialah seorang eksekutif di Yayasan 1Malaysia.

Tiada ulasan: