Khamis, 29 September 2016

Isu kerusi: PAS boleh tolak ansur dengan PPBM tapi bukan Amanah

Oleh Azizul Osman
Post Pic
KUALA SELANGOR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sallehen Mukhyi melahirkan keyakinan parti itu akan membuka pintu rundingan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun jelasnya, rundingan itu termaktub kepada kerusi-kerusi sedia ada yang dimiliki oleh PPBM sahaja.
Manakala Amanah pula, beliau menyerahkan kepada PKR dan DAP untuk memberikan kerusi masing-masing kepada parti serpihan PAS itu, dan bukannya menagih kerusi mereka.
"Bersatu (PPBM) saya fikir tidak akan bertanding dikerusi milik mereka sahaja. Jadi saya fikir kita boleh bincang dengan Bersatu (PPBM) sahaja kalau bertindih dengan kerusi PAS bertanding. Tetapi persoalannya yang tidak ada kerusi sekarang adalah PAN (Amanah).
"Jadi masalah PAN (Amanah) ini kita sudah serahkan kepada DAP dan PKR untuk beri laluan kepada PAN (Amanah) untuk bertanding. Itu terpulang kepada mereka apa hendak buat dengan PAN (Amanah) ini?," katanya dalam sesi temubual eksklusif bersama Antarapos.
Malah beliau berkata, soal pertandingan satu lawan satu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) tidak akan menjadi masalah kerana parti masing-masing mempunyai kerusi tersendiri. 
Tetapi ujarnya, masalah pertindihan kerusi ini wujud disebabkan Amanah tidak memiliki sebarang kerusi, dan mahu merampas kerusi PAS. 
"Sekarang ini kalau hendak satu lawan satu, tidak ada masalah PAS boleh bertanding di kerusi PAS, DAP bertanding di kerusi milik mereka, dan PKR sama di kerusi milik mereka," katanya.
Rakyat lebih kenal logo PAS
Mengulas mengenai seruan supaya pembangkang bersatu di bawah satu logo yang sama pada PRU akan datang, Sallehen berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) tidak menggunakan logo yang sama tetapi tetap mendapat sokongan rakyat.
Tetapi ujarnya, terpulang kepada keputusan pimpinan Pusat untuk menentukan perkara ini.
"Saya fikir kalau kita tidak bersatu di bawah satu logo pun tidak ada masalah yang besar sangat. 
"Rakyat lebih kenal logo PAS sekarang berbanding kita nak perkenalkan logo yang baru.
"Cuma kalau hendak bernaung di bawah satu logo, kita serahkan kepada parti untuk memutuskan samada PAS perlu bertanding di bawah satu logo dan menerima logo yang dicadangkan. 
"Kalau PAS terima logo ini bererti kita menerima prinsip kebersamaan dalam pakatan parti pembangkang," katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini mencadangkan kepada parti-parti pembangkang agar bernaung di bawah satu logo untuk tidak mengelirukan rakyat dengan penggunaan logo pada kertas undi yang berbeza-beza mengikut parti-parti politik pembangkang pada PRU14 akan datang.
Cadangan itu disambut baik PKR, Amanah dan DAP yang menyifatkan penggunaan satu logo akan memberikan kelebihan kepada pembangkang dan mampu untuk menyatukan parti-parti pembangkang yang kini berpecah.

Tiada ulasan: