Ahad, 25 September 2016

Dakwaan PAS berkali-kali khianati PKR tidak berasas - Naib Presiden PAS

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kenyataan Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution bahawa PAS berkali-kali mengkhianati parti itu berhubung isu agihan kerusi pada musim pilihan raya, tidak berasas.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata beliau kesal akan kenyataan Saifuddin itu dan menegaskan ia hanya akan menyukarkan proses rundingan antara dua parti itu kelak.
 
"(Kenyataan Datuk) Saifuddin Nasution membawa nada untuk bergaduh bukan untuk berunding. 
"Membuat tuduhan-tuduhan dan membuat andaian. (Sikap itu) tidak gentlemen," ujar Iskandar kepada Antarapos menerusi aplikasi WhatsApp.
 
Saifuddin semalam berkata PKR tetap akan mengadakan rundingan berhubung pembahagian kerusi dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu untuk menjamin pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU14) kelak.
 
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sembang santai sempena Sambutan Amanah Setahun di Muar, pada Sabtu malam.
 
Saifuddin mendakwa PAS pada PRU10 hingga PRU13 mengkhianati keputusan yang dipersetujui bersama dua parti itu membabitkan kerusi Bukit Besi, Seberang Takir, Kota Putera, Kota Damansara dan Sungai Acheh.
 
Bagaimanapun ujar Saifuddin, meskipun sering dikhianati PAS, PKR tetap akan meneruskan rundingan dengan parti itu untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) pada PRU14, akan datang.
 
Merujuk kenyataan itu, Iskandar berkata kenyataan Saifuddin itu tidak menggambarkan pendirian sebenar PKR terhadap PAS.
 
Malah Exco Selangor itu berkata, sekiranya PKR terus menuduh PAS dengan tuduhan tidak berasas, formula satu lawan satu akan menemui kegagalan.
 
"Saya harap ini bukan sikap kesemua pimpinan PKR. Jika tidak rundingan mungkin akan gagal sebelum bermula," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: