Selasa, 27 September 2016

Berakhlak baik, Ahmad Yakob paling layak jadi Mursyidul Am PAS - MUAFAKAT

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yaakob adalah calon paling layak untuk mengemudi parti berkenaan, kerana mempunyai sifat sebagai seorang pemimpin Islam, kata Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina. 
 
Beliau merujuk kepada penolakan Ahmad terhadap jawatan Mursyidul Am ketika mana namanya disebut-sebut sebagai calon yang paling layak menggantikan tempat Almarhum Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia baru-baru ini. 
 
Hal ini kerana menurut beliau, seorang pemimpin terutama bagi parti politik yang berteraskan Islam hanya akan menerima jawatan yang diberi setelah diamanahkan oleh pengikut, bukannya dengan meminta-minta jawatan tersebut.
 
"Betullah tu. Itulah sifat akhlak yang terbaik. Beliau tidak berebut-rebut jawatan tersebut. Akhlak ini yang sepatutnya ada pada pemimpin. Sekarang (yang lain) ini berebut-rebut," katanya kepada Antarapos dalam satu wawancara hari ini.
 
Selain mempunya akhlak dan keperibadian yang baik, Ahmad Yaakob juga dikatakan calon yang paling layak menggantikan Almarhum Haron Din kerana jawatannya ketika ini sebagai Timbalan Mursyidul Am.
 
Malah Ismail menambah, situasi yang dialami Ahmad kini sama seperti ketika Datuk Nik Aziz Nik Mat menyandang jawatan Mursyidul Am sebelum ini dan pada masa yang sama merupakan Menteri Besar Kelantan.
 
"Ada ramai calon yang layak, ada beberapa nama boleh disebut, tapi pada hemat saya datuk menteri besar Kelantan paling layak. sewaktu Datuk Nik Aziz jadi menteri besar, (pada masa sama) menjadi Mursyidul Am. Datuk menteri besar sekarang pun samalah. Lagipun dia sekarang Timbalan Mursyidul Am," tambahnya.
 
Sejak kematian Haron Din, calon yang bakal menggantikan tempat Allahyarham untuk mengemudi PAS dalam membawa hala-tuju parti itu menjadi topik perbualan muktahir ini.
 
Haron Din meninggal dunia pada umur 76 tahun di Hospital Stanford University di California, Amerika Syarikat, 16 September lalu.
 
Beliau sebelum itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) semasa menjalani rawatan jantung.
 
Almarhum meninggalkan seorang balu, Datin Khadijah Md Salleh dan lima orang anak.
 
 

Tiada ulasan: