Rabu, 21 September 2016

AMIN nasihat Maza hormati umat Islam fahaman ASWJ

 
 
Abd. Kareem Said
Abd. Kareem Said


Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) meminta Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menghormati umat Islam di negara ini yang berpegang teguh kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Pengerusinya, Abd. Kareem Said berkata, Dr. Mohd Asri atau lebih dikenali dengan panggilan Maza hanya boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan hukum untuk orang Islam di negeri itu sahaja, bukan negeri lain.

Katanya, Maza juga harus menghormati pandangan mufti lain yang bercakap mengenai Islam berdasarkan fahaman ASWJ.

"Sebagaimana ahli gabungan AMIN menghormati Sultan Perlis, Maza juga harus menghormati Sultan dan Mufti di luar negerinya.

"Ingatan daripada kami ialah jangan sebar fahaman kamu di luar Perlis kerana kami adalah dari fahaman ASWJ. Jika kamu bercakap dalam negeri kamu, itu hak kamu," katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna, Villa Puteri Condominium di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau menyampaikan taklimat bertajuk 'Isu ancaman akidah dan keselamatan pada bangsa Melayu' kepada ahli gabungan AMIN yang melibatkan 112 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Abd. Kareem, tindakan Maza merakamkan ceramahnya yang kemudian dimuatnaik dalam laman media sosial Youtube sehingga ditonton oleh ratusan umat Islam pelbagai peringkat usia dan boleh merosakkan akhlak anak-anak muda yang baharu hendak mengenali Islam.

Mengulas lanjut mengenai tindakan itu, beliau berkata, selalunya orang yang suka membuat bising adalah tin kosong.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, AMIN juga membantah mana-mana negara luar yang membiayai golongan bukan dari fahaman ASWJ di negara ini.

"Negara luar tidak perlu campur tangan. Tidak perlu membiayai orang tertentu yang mendakwa kononnya memperjuangkan Islam. Kita ada ulamak yang lebih arif mengenai agama, biar ulamak kita uruskan.

Orang lain tidak perlu campur tangan. Kita banyak bersabar selama ini. Kita diam dan kita sabar. Begitu juga jika kita tahu ada dana luar disalurkan masuk, kita beritahu mereka dengan cara baik," katanya.

Katanya, AMIN bersama 112 NGO yang bergabung berikrar berdiri teguh di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras fahaman songsang yang jika dibiarkan boleh menyebabkan keselamatan negara terancam.

"Kami sayang sangat kepada negara dan anak cucu cicit kami. Kami tidak mahu Malaysia jadi seperti Iraq, Syria dan Mesir. Kami juga tak rela Malaysia yang aman ini jadi porak peranda," katanya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: