Ahad, 25 September 2016

Amanah harap ROS beri kerjasama luluskan 'Barisan Rakyat'

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
MUAR: Pimpinan Amanah menyambut baik cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) supaya kesemua parti pembangkang bernaung di bawah satu logo, namun berharap agar pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi kerjasama yang baik ke arah usaha tersebut.
 
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, beliau juga sudah berbincang dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung idea berkenaan.  
 
"Cuma halangan terbesar dalam idea itu adalah sebagaimana kami lalui sewaktu zaman Pakatan Rakyat dahulu, kita kemukakan permohonan kepada ROS tetapi sampai PRU13, ROS mendiamkan diri. Itu isunya. 
 
"Kita tak putus asa, sekiranya semua parti (pembangkang) bersetuju, kita boleh mendapat kata sepakat dan akan adakan pertemuan dengan ROS untuk mereka luluskan pendaftaran apa saja nama sama ada Pakatan Harapan atau Harapan Rakyat, untuk berdepan satu lawan satu dengan BN.   
 
"Saya harap ROS tak guna pelbagai halangan dan apa jua alasan, izinkan kami didaftarkan dan kami boleh guna satu lambang pada PRU akan datang," katanya ketika ditemui sewaktu Sambutan Setahun Amanah di sini, hari ini.
 
Semalam Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesyorkan supaya kesemua parti pembangkang membentuk satu barisan yang bernaung di bawah satu logo demi berdepan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Ujar bekas Menteri Besar Kedah itu, syor gabungan yang dipanggil Barisan Rakyat itu akan disuarakan kepada ketua-ketua parti dalam waktu terdekat.
 
Gabungan berkenaan penting supaya kesemua parti pembangkang dapat melawan BN dengan satu logo yang sama, sekaligus tidak mengelirukan pengundi, kata Mukhriz.
 
Gabungan itu juga dikatakan tidak akan menyisihkan PAS, yang kini bergerak sendirian selepas tidak menganggotai Pakatan Harapan (PH) ekoran terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) Jun tahun lalu.
 
Menyentuh mengenai penerimaan Amanah terhadap PAS di dalam gabungan yang dicadangkan itu, kata Salahuddin, parti itu sentiasa mengamalkan sikap 'tangan terbuka', namun ianya bergantung kepada PAS sendiri. 
 
"Pintu sudah dibuka, kalau mereka (PAS) mahu masuk bersama barisan pembangkang atau bersendirian menubuhkan blok ketiga. Tapi Amanah alukan sebarang bentuk rundingan yang kita rasakan penting untuk berdepan dengan BN pada PRU akan datang," katanya lagi.
 
Hal tersebut turut dipersetujui Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.
 
Ahli Parlimen Kota Raja itu menambah, satu perbincangan di antara kesemua parti pembangkang perlu dilakukan sekiranya PAS menerima idea berkenaan, khususnya membabitkan agihan kerusi bagi mencapai konsep satu lawan satu.    
 
"Semua orang berhasrat untuk melihat satu lawan satu dan PPBM kata bukan mereka mahu bertanding semua tempat. Pakatan Harapan sedar hakikat itu. 
 
"Masalah sekarang, adakah PAS sanggup bekerjasama dengan gabungan empat parti ini iaitu PPBM, PKR, DAP dan Amanah. Kalau mereka sanggup datang bersama, tentu kita perlu berunding, bukan satu parti mendominasi yang lain," kata beliau lagi.
 
 

Tiada ulasan: