Jumaat, 30 September 2016

Agamawan patut sokong, bukan politikkan RUU 355

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
  
SHAH ALAM: Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak perlu dipolitikkan kerana ia jelas merupakan satu usaha bagi memartabatkan agama Islam.
 
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata, sokongan daripada semua pihak amat diharapkan apatah lagi daripada golongan agamawan.  
 
"Kita harapkan supaya semua golongan agamawan memberikan sokongan kerana ini adalah untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.
 
"Perkara yang baik perlu disokong, tidak perlu dipolitikkan," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa RUU 355 tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah kerana ia usaha manusia.
 
Wan Salim dalam kenyataannya semalam juga meminta mana-mana pihak agar tidak mengkafirkan orang yang tidak bersetuju dengan usul yang bakal dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda akta berkenaan.
 
Menurut Wan Salim lagi, seseorang tidak wajar memaksa mana-mana ahli parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut.
 
Enggan mengulas lanjut, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut bersetuju dengan padangan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyangkal kenyataan mufti berkenaan.
 
Mohd Khairuddin dalam reaksinya menyifatkan kenyataan Wan Salim seolah-olah menjaga kepentingan politik parti tertentu.
 
Malah beliau sebaliknya berkata, usul yang bakal dibawa  Hadi pada sidang Dewan Rakyat akan datang adalah bagi menegakkan perintah Allah. 


Tiada ulasan: