Ahad, 28 Ogos 2016

Selagi Najib diamkan diri perhimpunan #TangkapMO1 tidak akan berhenti

INTAN NURIDAYU


IMG-20160827-WA0020


KUALA LUMPUR: Gerakan Mahasiswa yakin perhimpunan #TangkapMO1 yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini bukan yang terakhir.

Menurut Sharan Raj, 23, yang merupakan mahasiswa tahun tiga jurusan kejuruteraan di sebuah pusat Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), walaupun jumlah bilangan peserta yang hadir hari ini iaitu sebanyak 7000 orang tidak mencapai jumlah yang mereka anggarkan sebelum ini tetapi ia tidak bermakna mereka akan berhenti setakat ini sahaja.

“Kita mendesak pihak berkuasa supaya tangkap MO1 (Malaysian Official 1) kerana individu tersebut telah mencuri dan merompak duit kami sehinggakan mahasiswa dan mahasiswi pada masa kini terpaksa menanggung beban hutang PTPTN.

“Sedangkan ‘mereka’ (merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) bersenang lenang dengan keluarganya di Amerika Syarikat menggunakan duit rakyat.

“Sebab itu, kita nak desak pihak berkuasa tangkap MO1 ini dan masukkannya ke dalam penjara dan bawa ke muka keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tamat perhimpunan tersebut.

Difahamkan, perhimpunan hari ini diadakan bagi mendesak pihak berkuasa menahan individu yang telah dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai Malaysian Official 1 (MO1) kerana didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dana syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kumpulan mahasiswa ini telah mula berarak bermula jam 2 petang tadi bermula di Sogo menuju ke Dataran Merdeka.

Turut kelihatan adalah beberapa pemimpin dari parti Pakatan Harapan.

Selain itu, Sharan Raj turut memberitahu sekiranya MO1 yang dinyatakan oleh DOJ itu bukannya Najib, beliau sepatutnya tampil menjelaskan dan bukannya hanya mendiamkan diri.

“Kalau betul tak salah dan beliau (Najib) dakwa tak bersalah, okay, tunjukkan bukti, yakinkan kepada rakyat beliau bukan MO1, tapi kalau betul beliau salah, saya minta beliau serah diri pada pihak berkuasa serta merta kerana saya beri amaran, anak muda kini terutama sekali mahasiswa mahasiswi tidak akan berdiam diri lagi,” ujarnya.

Tiada ulasan: