Selasa, 30 Ogos 2016

Pengerusi Bank Rakyat Direman 7 Hari

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
DIKEMASKINI- PUTRAJAYA: Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul Aziz Zainal dikenakan perintah reman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai RM15 juta.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini untuk menahan reman lelaki berusia 65 itu, sehingga 5 September.

Abdul Aziz, 65, tampil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur sebelum dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya dan ditahan pada 3 petang semalam.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata semalam akaun bank Abdul Aziz yang mengandungi wang hampir RM1 juta telah dibekukan.

Dia adalah orang ketiga daripada bank itu ditahan SPRM berhubung kes yang sama.

Sementara itu, empat lelaki termasuk pengarah urusan bank yang sama bergelar Datuk, bekas pengarah perolehan bank dan dua pemilik syarikat penerbitan yang tamat tempoh reman hari ini dibebaskan SPRM setelah siasatan selesai, hari ini.

Setakat ini, tujuh individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes itu dan empat daripada mereka dibebaskan hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Tiada ulasan: