Ahad, 28 Ogos 2016

Penganjur Perhimpunan Haram Akan Dipanggil - Noor Rashid

MSTAR ONLINE
 
 
Noor Rashid Ibrahim.
 
 
GEORGE TOWN: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan haram anti kerajaan di ibu negara pada Sabtu bagi membantu siasatan kerana tetap menganjurkannya walaupun tidak mendapat kebenaran polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, mereka yang menganjur perhimpunan itu telah melanggar undang-undang dan akan disiasat menurut Seksyen 4, Akta Perhimpunan Aman.

"Pihak polis telah maklumkan dari awal lagi bahawa kalau hendak menganjurkan apa-apa sahaja perhimpunan, pertama sekali penganjur mesti mendapatkan kebenaran daripada polis kerana ia membabitkan aspek ketenteraman awam.

"Memang mereka hantar (permohonan) bagaimanapun ia ditolak ekoran tidak  memenuhi syarat antaranya gagal mengemukakan surat kebenaran daripada tuan punya tempat perhimpunan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara, di sini Ahad.

Perhimpunan haram anti kerajaan di ibu negara pada Sabtu, hambar dan tidak mendapat sambutan dan hanya disertai kira-kira 1,500 orang.

Sementara itu, Noor Rashid, berkata semua pihak yang ingin mengadakan perhimpunan perlu mematuhi undang-undang negara bagi memastikan mereka tidak dikenakan tindakan. - Bernama

Tiada ulasan: