Selasa, 30 Ogos 2016

Laluan motosikal banyak masalah

MALAYSIAKINI


Untuk memahami dan melihat sendiri masalah pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof hari ini menjadi sebahagian daripada mereka - membonceng motosikal bersebelahan Lebuhraya Persekutuan.

Bermula dari bawah Stesen LRT Universiti di pinggir Kuala Lumpur beliau menyurusi laluan motosikal ke Batu Tiga Shah Alam bersama sejumlah pengiring terdiri daripada pegawai Jabatan Kerja Raya.

Turut menyertai lawatan turun padang itu, pegawai Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

Berdasarkan penelitian dibuat Fadillah berkata ada beberapa isu yang perlukan perhatian.

Antaranya, kata beliau, keadaan laluan yang terlalu sempit, selekoh tajam, laluan keluar atau masuk yang tidak sesuai serta ancaman bahaya dari tapak projek berhampiran.

Turut mendapat perhatian menteri, keadaan terowong yang agak gelap serta belukar yang boleh dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengancam pengguna laluan berkenaan.

Bagaimanapun Fadillah mengingatkan ada kekangan untuk kerajaan mengatasi masalah itu segera.

Misalnya, kata beliau, tiada ruang mencukupi untuk pembesaran laluan, manakala isu jalan berlubang mungkin berulang selepas ia diturap.

"Diharap pengguna lebuh raya dapat bersabar untuk sementara dan patuhi peraturan serta had kelajuan di tempat yang berkenaan," katanya kepada media.

Sebelum ini Malaysiakini pernah menyiarkan keluhan pengguna laluan motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang berdepan pelbagai masalah.

Biasanya akan menyebabkan kemalangan, antara isu yang sering dihadapi mereka ialah jalan tidak diturap dengan rata, papan tanda ditutup pelbagai iklan, terowong gelap dan yang paling parah, tiada pemantauan penguat kuasa pada waktu malam sehingga mereka terdedah kepada risiko kena samun.

Turut diadukan, pembahagi jalan tidak dicat dengan betul sehingga mengelirukan pengguna.

Fadillah berkata usaha menambah baik laluan motosikal adalah proses berterusan dan kerajaan sentiasa memandang berat maklum balas pengguna.

Beliau juga menyatakan sebarang aduan mengenai kerosakan jalan raya boleh disalurkan melalui aplikasi “Aduan Jalan KKR” yang dilancarkan pada Mac tahun lalu.

"Setakat ini sudah ada kira-kira 5,000 pengguna berdaftar aplikasi ini," katanya.

Aplikasi itu membolehkan pengguna menghantar pelbagai butiran masalah yang dikesan, termasuk lokasi dan gambar.

Tiada ulasan: