Selasa, 30 Ogos 2016

Datuk tertembak cucu kerana disangka kera

Datuk tertembak cucu kerana disangka kera
Senjata api digunakan datuk mangsa untuk menjaga kebun dari musuh tanaman turut dirampas. - Foto Sinar Harian


KOTA TINGGI - Seorang cucu cedera parah selepas datuknya tertembak kanak-kanak tersebut yang disangka kera dalam kejadian di sebuah kebun dekat Kampung Mawai, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.10 pagi, semasa pengadu yang juga warga emas berusia 79 tahun itu berada di kebunnya untuk membuat pemantauan kebun dengan membawa senjata api miliknya.

Menurutnya, ketika kejadian lelaki berkenaan telah ternampak satu objek bergerak yang mana pengadu menyangka objek itu seekor kera.

"Ekoran itu datuk mangsa telah melepaskan satu das tembakan menggunakan peluru penabur No.4 dan sebaik tembakan dilepaskan pengadu terdengar suara menjerit kesakitan.

"Warga emas berkenaan kemudian pergi melihat dan mendapati yang tertembak adalah cucunya. Dengan bantuan keluarga, mangsa telah di hantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dapatkan rawatan lanjut,"katanya, hari ini.

Tambah Rahmat, ekoran kejadian itu kanak-kanak berusia 10 tahun itu mengalami cedera di bahagian kepala dan badan dimana terdapat tiga kesan luka terkena peluru.

Katanya, senjata api yang digunakan datuk mangsa adalah jenis Short Gun 32" Simson Double Barrel untuk kegunaan menjaga kebun dari musuh tanaman.

"Datuk mangsa telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960 dan senjata api digunakan juga turut dirampas," katanya lagi.

Tiada ulasan: