Isnin, 29 Ogos 2016

Anak muda menganggur, satu sorotan global

rencana_anakmudamenganggur

Oleh Ahmad Salami


Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan bahawa kadar pengangguran belia global dijangka mencecah 13.1 % pada tahun 2016 dan kekal pada tahap itu sehingga 2017. Peratusan ini meningkat berbanding 12.9 % pada tahun 2015. ILO merupakan sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menangani isu-isu buruh.

Berdasarkan laporan 48 muka surat ‘World Employment and Social Outlook 2016, Trends for Youth’ yang dikeluarkan oleh ILO pada 24 Ogos 2016 menunjukkan bilangan belia global yang menganggur dijangka meningkat sehingga setengah juta orang tahun ini iaitu mencapai 71 juta, peningkatan yang pertama seumpamanya dalam masa 3 tahun.

Lebih membimbangkan adalah bahagian dan bilangan anak muda ini selalunya di negara-negara yang dikategorikanemerging country’ (negara pesat) dan developing country (negara membangun), hidup dalam kemiskinan melampau atau sederhana walaupun mempunyai pekerjaan. Angka direkodkan adalah 156 juta atau 37.7 % daripada belia yang bekerja, hidup dalam kemiskinan melampau atau sederhana. Ia berbeza berbanding dengan 26 % daripada orang dewasa yang bekerja.

‘Kadar kemiskinan yang bekerja’ (working poverty rate) ditakrifkan sebagai bahagian bagi populasi bekerja dalam kemiskinan melampau atau sederhana, sebagai contoh pendapatan atau penggunaan per kapita kurang daripada USD 3.10 (lebih kurang RM12.50) setiap hari. Belia ditakrifkan sebagai berumur antara 15-24 tahun.

“Peningkatan mengejutkan dalam pengangguran belia membimbangkan bagi anak muda yang bekerja tetapi masih hidup dalam kemiskinan. Ia suatu kesukaran untuk mencapai matlamat global untuk menghapuskan kemiskinan menjelang 2030. Melainkan jika kita melipatgandakan usaha kita untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kerja yang bersesuaian. Kajian ini juga menggariskan jurang perbezaan yang luas antara golongan wanita dan lelaki dalam pasaran buruh yang perlu ditangani oleh ahli ILO dan rakan-rakan sosial dengan segera,” kata Deborah Greenfield, Timbalan Ketua Pengarah Dasar ILO.

Peluang yang tidak sama rata

Di sebahagian petunjuk pasaran buruh, jurang perbezaan meluas ini wujud antara wanita dan lelaki, menjadi asas dan menyumbang kepada jurang yang lebih luas semasa peralihan ke alam dewasa. Pada 2016, misalnya, kadar penyertaan tenaga buruh untuk lelaki muda berada pada 53.9 % berbanding 37.3 % bagi wanita muda, menunjukkan perbezaan jurang sebanyak 16.6 mata peratusan.

Cabaran ini bertambah buruk di Asia Selatan, Negara Arab dan Afrika Utara, di mana kadar keterlibatan belia wanita masing-masing 32.9, 32.3 dan 30.2 mata peratusan. Ia lebih rendah berbanding dengan belia lelaki pada 2016.

Peningkatan pengangguran didorong oleh kelembapan dalam ekonomi pesat

Pertumbuhan ekonomi global pada 2016 dianggarkan berdiri pada 3.2 peratus, 0.4 peratus mata lebih rendah daripada angka yang diramalkan pada akhir 2015.

“Ini didorong oleh kemelesetan yang lebih teruk daripada yang dijangkakan di beberapa negara pesat membangun (emerging countries) pengeksport komoditi dan pertumbuhan tidak berkembang di beberapa negara maju (developed countries). Peningkatan kadar pengangguran belia terutamanya ditandai di negara-negara pesat membangun,” kata Steven Tobin, Ahli Ekonomi Kanan ILO dan ketua penulis laporan ini.”

Di negara-negara pesat ini, kadar pengangguran dianggarkan akan meningkat daripada 13.3 % (52.9 juta) pada 2015 kepada 13.7 % (53.5 juta) pada tahun 2017. Di Amerika Latin dan Caribbean sebagai contoh, kadar pengangguran dijangkakan meningkat daripada 15.7 % pada 2015 kepada 17.1 % pada tahun 2017; di Asia Barat dan Tengah, daripada 16.6 % kepada 17.5 %; di Asia Tenggara dan Pasifik, daripada 12.4 % kepada 13.6 %.

Pekerjaan berkualiti rendah yang tidak seimbang terus mempengaruhi belia. Walaupun dengan perbezaan serantau yang besar. Sebagai contoh, Sub Sahara Afrika terus mengalami kadar kemiskinan belia bekerja tertinggi di peringkat global yang mana hampir 70%. Kadar kemiskinan bekerja di kalangan orang muda juga tinggi di negara Arab (39 %) dan Asia Selatan (49%).

Di negara maju pula, terdapat bukti pertumbuhan dalam taburan umur kemiskinan yang mana belia mengambil tempat golongan lebih tua bagi kumpulan yang berada pada risiko kemiskinan tertinggi (ditakrifkan bagi ekonomi maju berpendapatan kurang daripada 60% pendapatan median). Sebagai contoh pada tahun 2014, bahagian bagi pekerja muda dalam EU-28 dikategorikan sebagai berada pada risiko kemiskinan yang tinggi iaitu sebanyak 12.9% berbanding 9.6% daripada pekerja umur perdana (umur 25-54). Cabaran yang dihadapi adalah meruncing di beberapa negara di mana berada dalam risiko kemiskinan bagi pekerja muda iaitu melebihi 20%.

Migrasi

Antara banyak sebab untuk berhijrah atau migrasi sebagai contoh kebiasaan; konflik bersenjata, bencana alam, dan lain-lain, kadar pengangguran yang tinggi, kecenderungan meningkat bagi miskin bekerja dan kekurangan peluang pekerjaan berkualiti adalah faktor utama membentuk keputusan belia ini untuk berhijrah ke luar negara secara kekal atau sebagai penduduk tetap.

Di peringkat global, bahagian anak muda berusia antara 15 hingga 29 tahun yang sanggup untuk berhijrah secara tetap ke negara lain berada pada kadar 20 peratus pada tahun 2015. Kecenderungan tertinggi untuk migrasi ke luar negara pada kadar 38 peratus adalah dalam sub-Sahara Afrika dan Amerika Latin serta Caribbean, diikuti oleh Eropah Timur pada 37 peratus. – Roketkini.com

*Ahmad Salami adalah alumni Sekolah Demokrasi


Tiada ulasan: