Khamis, 28 Julai 2016

Rayer bebas tuduhan menghasut 'Umno celaka'

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: ADUN Seri Delima, RSN Rayer dibebaskan daripada tuduhan mengasut berhubung kenyataan 'Umno celaka' yang dikeluarkannya dua tahun lalu.
 
Hakim Mahkamah Sesyen, Ibrahim Osman berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rayer.
 
Ibrahim berkata mahkamah tidak diyakinkan bahawa kenyataan Rayer itu berbentuk hasutan, justeru ia dilindungi oleh kekebalan seorang wakil rakyat.
 
"Mahkamah mendapati bahawa ucapan tertuduh tidak merujuk mana-mana kaum atau segolongan orang malah secara jelas hanya merujuk kepada individu-individu secara spesifik iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Shabudin Yahaya.
 
"Umno adalah sebuah parti politik yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan sama seperti pertubuhan lain seperti DAP, PAS, PKR dan lain-lain.
 
"Kenyataan terhadap sesebuah parti politik itu tidak boleh disifatkan sebagai perkataan kepada sesuatu kaum tertentu atau golongan yang tertentu.
 
"Mahkamah berpandangan bahawa kenyataan terhadap sesuatu kaum mestilah jelas ataupun tersurat bukannya secara tersirat. Jika mahkamah ini menerima sesebuah parti politik sebagai khusus untuk kaum yang tertentu sahaja, perkara sedemikian sudah tentu akan memberi kesan negatif dan boleh membawa implikasi yang tidak sihat," katanya.
 
Pada 27 Ogos 2014, Rayer mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut itu ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei 2014.
 
Wakil rakyat itu menghadapi pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim dan Farah Aimy Zainul Anwar manakala Rayer diwakili oleh barisan peguam diketuai Gobind Singh Deo.
 
 

Tiada ulasan: