Ahad, 31 Julai 2016

PKR tak setuju PRN mengejut petanda DAP semakin hilang kuasa - Gerakan

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Gerakan Pulau Pinang menyifatkan pembatalan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di negeri itu menunjukkan DAP kini semakin kehilangan pengaruh walaupun mempunyai jumlah kerusi yang banyak.
 
Menurut Setiausahanya Hng Chee Wey, kegagalan DAP mempengaruhi PKR turut membuktikan bahawa parti itu hanya sekadar pemerintah yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.
 
"Kita nampak dalam Langkah Kajang, walaupun dalam Pakatan (rakan) mereka bantah tetapi mereka tetap laksanakan.
 
"DAP berhasrat tinggi untuk laksanakan PRN mengejut ini tetapi tidak dapat persetujuan PKR, maka terpaksa untuk batalkan. DAP mungkin sudah kehilangan kuasa dalam PH, Jadi DAP sekarang hanyalah sebagai 'caretaker' saja tanpa kuasa," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, membatalkan hasrat meneruskan PRN mengejut di negeri itu, selepas tidak mendapat persetujuan rakan komponennya.
 
Guan Eng berkata, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam memaklumkan kepada beliau berhubung keputusan pucuk pimpinan parti itu.
 
Cadangan daripada DAP itu timbul ekoran Guan Eng terpalit tuduhan rasuah, apabila cuba menukar status tanah (zon pertanian kepada zon komersil) dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran di Jalan Pinhorn, George Town.
 
Dalam pada itu Chee Wey menyambut baik pembatalan tersebut yang hanya merugikan rakyat Pulau Pinang demi menyelamatkan karier pihak tertentu.
 
"'Snap poll' ini mungkin atas sebab-sebab perseorangan saja bukan kebaikan (untuk) rakyat di Pulau Pinang. Ini hanya nak selamatkan satu parti atau orang tertentu saja," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: