Isnin, 25 Julai 2016

Papar jemaah haji ditaja 1MDB, media dikuasai kerajaan cuba sorok Malaysian Official 1

 ARIF ATAN
 
 
Najib RazakNajib Razak


Media perdana yang dikuasai kerajaan Umno-BN sejak kelmarin dilihat cuba menyembunyikan tuntutan Amerika Syarikat (AS) untuk merampas 17 aset yang dikaitkan dengan salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terbaharu, berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Nasional 1 melaporkan kegembiraan jemaah haji di Masjid Tanah, Melaka yang ditaja oleh 1MDB.

Laporan berita pukul 1 petang itu menyebut 1MDB membiayai 10 jemaah haji di sekitar Parlimen tersebut.

Untuk rekod, syarikat pelaburan negara sarat hutang itu sejak 2009 menaja seramai 2,300 jemaah haji membabitkan perbelanjaan sebanyak RM28.2 setakat 2014 lalu.

Program Khas Haji secara tahunan itu disertai imam dan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Bahkan, dilihat sebagai "rasuah 'Islamik" bagi pengkritik, 1MDB sejak 2011 turut menaja sepenuhnya pembangunan semula Masjid Jamek Kampung Baru dengan jumlah keseluruhannya menelan kos sebanyak RM20 juta.

Sementara itu, walaupun #MalaysianOfficial1 hangat diperkatakan di media sosial, segmen "Trending" yang mengisi berita di Astro Awani malam tadi mungkin terlepas pandang kontroversi 'Malaysian Official 1 yang menerima wang 1MDB sebanyak AS$731 juta.

Paparan slot itu hanya menguar-uarkan fenomena filem 'Kabali' di India diikuti 'demam' Pokemon Go di Jepun serta insiden sepakan gol sendiri yang lucu.

Terdahulu, dalam berita _Astro Awani_ pukul 11 pagi semalam melaporkan pelbagai statistik seperti lebih 1,000 belia ditangkap kerana rasuah serta seramai 69 peratus penghidap HIV adalah Melayu.
Beza akhbar Cina

Dalam hal berkaitan, pemerhatian Malaysia Dateline mendapati akhbar berbahasa Cina semalam meletakkan isu permohonan rampasan sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS bagi memperoleh semula lebih AS$1 bilion itu di paparan utama akhbar masing-masing.

Gambar Peguam Negara AS, Loretta E Lynch; Low Taek Jho atau Jho Low, imej 1MDB serta bendera Amerika mengisi sepenuhnya halaman depan akhbar Guang Ming Daily, Sin Chew Daily dan China Press.

Namun, muka depan tiga akhbar berbahasa Melayu yang dikuasai rejim Umno-BN pada hari sama tidak menyiarkan kes pemindahan wang haram terbesar dalam sejarah AS bahkan bagi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhyiddin Yassin mungkin juga terbesar di dunia itu.

Ketiga-tiga akhbar tersebut meskipun memaparkan berita jenayah di muka depan tetapi pelakunya dilihat rakyat bawahan yang statusnya tidak seperti kes berprofil tinggi berkaitan kelas elit seperti Malaysian Official 1.

Paparan muka depan Utusan Malaysia dengan tajuk besar, "Kerani jadi dalang" merujuk kepada kes samun membabitkan RM754,000 di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 4 Julai lalu.

Sementara itu, muka depan _Harian Metro_ tampil dengan imej tangan bergari tetapi bukanlah berkaitan dengan Malaysian Official 1.

Laporan bertajuk "Artis projek Bunian" itu tentang kes seorang pelakon dan pelawak popular yang menipu ahli perniagaan dengan tawaran projek pembinan lebuh raya.

Muka depan akhbar Kosmo semalam pula bertajuk, "Pergaduhan berdarah suami isteri" berkisar tentang dua kes di Johor dan Sabah yang kemudiannya menyaksikan masing-masing isteri seorang penganggur dan suami seorang anggota polis maut selepas bertengkar

Tiada ulasan: