Khamis, 28 Julai 2016

K’jaan negeri punyai prerogatif adakan PR mengejut – Guan Eng

THE MALAYSIAN TIMES


lim-Guan_Eng_-484x320


BATU KAWAN: Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mempunyai prerogatif untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri ini, tanpa perlu mengadakan persidangan tergembar Dewan Undangan Negeri, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata menurut perlembagan negeri, kerajaan Pakatan yang ada sekarang, mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya awal dan ini tiada kena- mengena dengan Barisan Nasional (BN).

“BN sudah melakukannya banyak kali, (mengadakan) pilihan raya umum awal pada 1978, 1982 dan 1986 kerana, menurut Perlembagaan Persekutuan, ia berhak berbuat demikian dan, di Pulau Pinang, kami hanya perlu mendapatkan restu Yang Dipertua Negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan galeri jualan Aspen Group di Bandar Cassia di sini.

Lim berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong Mohd Farid Saad daripada BN semalam bahawa persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri perlu diadakan bagi membincangkan cadangan pilihan raya mengejut itu.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, berkata cadangan itu bukan perkara baharu kerana BN pernah melakukannya di peringkat persekutuan, dan ia tiada kena-mengena dengan parti pembangkang di negeri ini sekiranya kerajaan negeri ingin mengadakan pilihan raya awal.

Lim juga mencadangkan agar Mohd Farid mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan negeri atau ketua menteri sekiranya beliau tidak berpuas hati tentang perkara itu.

“Kami hanya membincangkanya dalam kalangan (rakan) gabungan Pakatan, tidak dengan pembangkang di negeri ini,” katanya.

Selasa lepas, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan parti itu masih belum yakin dengan cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.

Isu pilihan raya negeri timbul apabila media tempatan melaporkan bahawa DAP menyenaraikan dua pilihan berikutan tuduhan rasuah yang dihadapi Lim.

Satu daripadanya ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengetahui respons rakyat Pulau Pinang terhadap tuduhan yang dikenakan terhadap Lim, satu lagi ialah menunggu pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Ogos 2018.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi, 19 daripadanya disandang DAP; PKR (10); BN (10) dan PAS satu.  — Bernama


Tiada ulasan: