Ahad, 31 Julai 2016

BAGAIMANA UNTUK BERITAHU ORANG KAMPUNG MENGENAI SKANDAL 1MDB DALAM BAHASA PALING MUDAH?

shahbudindotcom

 

 
 
Muhyiddin Yassin bersetuju untuk bekerjasama dengan PKR bagi mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan mengenai skandal 1MDB dalam bahasa paling mudah kepada orangramai.

Persetujuan itu diumumkan dalam suatu sidang akhbar di Subang Jaya pada tengahari Sabtu dengan dihadiri Muhyiddin sendiri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali dan lain-lain pemimpin PKR.

Menurut Muhyiddin, penjelasan dalam bahasa yang mudah meliputi kawasan bandar dan luar bandar itu adalah penting supaya rakyat mendapat gambaran sebenar dan faham beban 1MDB kepada negara.

Ini kerana, katanya, isu melibatkan skandal 1MD bukan saja menjadi bualan dalam negara, bahkan juga sehingga ke luar negara.

Saya sokong inisiatif yang dicadangkan ini, malah perlu dipertingkatkan lagi. Kalau rakyat tidak disedarkan mengenai kuasa mereka dalam menentukan masa depan negara, sampai bila pun mereka tidak akan sedar, ujar Muhyiddin dalam ucapannya.

Bagaimana untuk menggambarkan skandal 1MDB ini dalam bahasa paling mudah untuk difahami, khususnya kepada orang-orang kampung dengan matlamat akhirnya supaya mereka akan menolak UMNO dan BN yang diketuai oleh Najib Razak?

Jika diimbas pelbagai isu yang timbul yang berpunca daripada 1MDB daripada awal sehinggalah kepada Jabatan Kehakiman AS mengambil tindakan di bawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi (harta curi) baru-baru ini, bahasa paling mudah untuk menggambarkannya ialah syarikat itu merupakan lubuk pencurian terhebat, bukan saja dalam negara, tetapi juga di dunia.

Untuk aktiviti pelaburan dan menambah pendapatan negara, sebenarnya tidak perlu sama sekali ditubuhkan 1MDB kerana kita sudah pun mempunyai Khazanah Nasional yang telah ditubuhkan sejak sekian lama?

Kenapa perlu ditubuhkan sebuah syarikat lain untuk menjalankan aktiviti pelaburan juga?

Jawapannya tentu saja ialah kerana Khazanah tidak boleh dipergunakan sesuka hati sepertimana 1MDB dioperasikan, lebih-lebih bukan saja Najib meletakkan dirinya sebagai pemberi kata putus dalam urusan perniagaan dan pelaburannya, malah melalui 1MDB jugalah diletakkan Jho Low untuk mencatur segala-galanya.

Semua itu tidak mungkin dapat dilakukan melalui Khazanah.

Melalui 1MDB, ia digunakan untuk meminjam secara besar-besaran atau menjual bon bagi membiayai aktiviti pelaburannya. Walaupun terikat dengan komisen yang tinggi, 1MDB juga diberikan tanah kerajaan TRX dengan harga RM60 sekaki, meskipun harga pasaran mencecah RM3,000 sekaki. Tanah di tapak TUDM Sungai Besi juga diberikan kepada 1MDB dengan harga yang tidak didedahkan.

Daripada sebahagian wang penjualan bon itulah yang menurut Jabatan Kehakiman AS munculnya komplot pencurian berkali-kali dengan cara melencongkan sebahagian wang yang asasnya diperolehi  melalui pinjaman dan penjualan bon.

Pembeli utama bon 1MDB  ialah syarikat seperti Tabung Haji manakala pemberi pinjaman ialah KWAP atau Kumpulan Wang Amanah Pencen. Bermakna, akhirnya wang rakyat juga digunakan tetapi dengan cara penuh berhelah.

Tanah harga murah itu secara mudahnya ialah untuk membayar balik pinjaman yang dibuat oleh 1MDB yang termasuk di dalamnya wang yang dilencongkan atau dicuri itu. Usaha lain untuk membayar hutang-hutangnya ialah dengan menyenaraikan 1MDB di bursa saham, tetapi tergendala akhirnya kerana terlebih dahulu terdedah satu demi satu "pekung"  tentang aktiviti yang dijalankannya.

Melalui pencurian wang tersebut, ia bukan saja digunakan untuk kekayaan peribadi beberapa orang tertentu dan membeli hartanah mewah, lukisan mahal, membuat filem, berjudi, bersiar-siar dengan kapal, dimasukkan ke dalam akuan bank peribadi Malaysian Official 1 sebagaimana yang disebut oleh Jabatan Kehakiman AS dan sebagainya, bahkan di pihak 1MDB pula dilakukan tajaan menunaikan haji dalam kouta tertentu serta program-program sosial.

Ia merupakan aktiviti licik untuk mengaburi pencurian yang dilakukan. Ia seperti menggunakan wang rompakan untuk sedekah membaiki masjid atau meletakkan RM50 wang curi dalam Surah Yassin dalam majlis tahlil yang diadakan pada malam Jumaat.

Adakah wajib 1MDB membuat tajaan haji sedangkan ia sendiri berhutang keliling pinggang dan tidak pernah mengutip keuntungan dalam operasi perniagaannya?

Jadi, bahasa paling mudah yang mungkin boleh digunakan untuk menjelaskan kepada orangramai mengenai skandal 1MDB, termasuk orang kampung ialah ia merupakan lubuk pencurian berlapis-lapis yang kemudian cuba dikaburi daripada pandangan umum dengan aktiviti sosial dan keagamaan yang dijalankannya. 

Sebab itu juga, program memakai jubah dan "ya hanana" kelihatan begitu menonjol dan aktif ketika ini berbanding era Tun Mahathir mahu pun Tun Abdullah Badawi.
 
 
 
 

Tiada ulasan: