Isnin, 25 Julai 2016

13 tertuduh kes pencerobohan Lahad Datu bersalah

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Seramai 13 daripada 14 tertuduh yang diarah membela diri dalam kes pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013, hari ini didapati bersalah dan disabitkan kesalahan dalam setiap pertuduhan terhadap mereka. 
 
Mereka terdiri 12 warga Filipina dan seorang penduduk tempatan yang sebelum ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). 
 
Keputusan itu diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Stephen Chung Hian Guan pada prosiding yang dijalankan di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, selepas membentangkan rumusan perbicaraan kes berkenaan, petang ini. 
 
Dalam penghakimannya, Hian Guan membebaskan seorang tertuduh warga Filipina iaitu Basil Samiul, 35, yang sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas. 
 
Keputusan terhadap seorang tertuduh yang turut didapati bersalah mengikut Seksyen 130 KA Kanun Keseksaan iaitu Habil Suhaili, 68, bagaimanapun tidak direkodkan kerana meninggal dunia akibat asma pada April lalu. 
 
Esok, mahkamah sama akan mendengar rayuan sebelum dijangka menjatuhkan hukuman terhadap semua tertuduh termasuk lima lagi tertuduh yang sebelum ini mengaku bersalah terhadap pertuduhan ke atas mereka.
 
 

Tiada ulasan: