Khamis, 30 Jun 2016

Terpulang mahu lepas jawatan atau tidak

SINAR HARIAN
Lim Guan Eng
Lim Guan Eng 
 
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, terpulang kepada Lim Guan Eng sama ada ingin melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, ini kerana Guan Eng hanya menghadapi dakwaan dan beliau belum disabitkan kesalahan.

"Terserah kepada beliau untuk ambil tindakan selari dengan pandangan peribadi dan pandangan parti beliau (DAP)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan rangkaian jalur lebar baharu, 'Yes 4G LTE' oleh syarikat penyedia perkhidmatan, YTL Communications Sdn Bhd., di sini hari ini.

Guan Eng, 56, yang juga setiausaha agung DAP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Georgetown, atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Dalam perkembangan lain, Salleh yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Sabah berkata, anggota Umno Sabah perlu bertenang dan menerima tindakan yang diambil pucuk pimpinan parti terhadap beberapa pemimpin parti itu baru-baru ini kerana ia adalah bersebab.

"Penerangan mengenai isu ini dibuat dari masa ke semasa. Tindakan itu diambil kerana soal disiplin, dalam parti tidak kira kita ada jawatan atau tidak, sesiapa yang terbukti melanggar perlembagaan parti maka tindakan akan diambil mengikut peraturan parti.

"Saya harap kita dapat bersabar dalam keadaan ini. Yang penting bukan individu, tapi yang penting adalah parti, parti yang mampu bela kita, bukannya individu," katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, 24 Jun lepas, memutuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini digantung sebagai timbalan presiden Umno, dipecat daripada parti bersama bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kerana melakukan pelanggaran disiplin.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pula digantung keanggotaannya sehingga MT Umno menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti. – Bernama


Tiada ulasan: